Monday, August 30, 2010

MINGGU 7: JURNAL REFLEKSI


Selamat sejahtera, salam perpaduan dan salam 1 Malaysia...

Sebelum memulakan jurnal refleksi saya pada minggu ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua kumpulan yang telah berjaya membuat pembentangan. Pada minggu ini, pembentangan lebih kepada tajuk Keroncong dan Kuda Kepang. Pembentangan yang dilakukan oleh rakan-rakan saya sangat menarik. Tidak hairanlah pembentangan ini mendapat interaksi 2 hala di dalam kelas. Perkara ini membuatkan saya lebih bersemangat mengikuti pembelajaran yang dibentangkan mungkin kerana cara penyampaian rakan-rakan saya sangat menarik dan tidak membosankan.



KERONCONG

Gambar 1 : Ensembel Keroncong
 
Keroncong merupakan satu ensembel muzik yang tidak asing lagi bagi masyarakat Melayu khususnya di Semenanjung Malaysia. Ada pendapat yang mengatakan bahawa muzik keroncong berasal dari Portugis. Ini kerana muzik ini mempunyai persamaan dari segi alat muzik dan cara dipersembahkan dengan satu seni muzik di Portugal namun pendapat ini tidak mudah diterima.

Muzik Keroncong mempunyai banyak persamaan dengan Muzik Gamelan yang juga merupakan satu ensembel muzik yang popular di Jawa. Persamaan ini boleh dilihat dari segi rentak hinggalah ke melodinya. Muzik Keroncong telah mengalami evolusi alat muzik pada suatu ketika dahulu sehinggalah pada masa kini alat muzik tersebut telah dikekalkan. Alat muzik Keroncong terbahagi kepada 7 jenis alat iaitu Biola, Seruling, Gitar, Ukulele, Tenor Banjo, Cello dan Double Bass. 

Gambar 2 : Biola (Violin)

Gambar 3 : Seruling (Flute)

Gambar 4 : Gitar

Gambar 5 : Ukulele (Cuk)

Gambar 6 : Tenor Banjo (Cak)

Gambar 7 : Cello

Gambar 8 : Double Bass

Jika dilihat alat-alat yang tersebut di atas merupakan alat-alat muzik yang berasal dari Eropah dan kesemua alat muzik ini mempunyai peranan masing-masing dalam ensembel Keroncong. 

Pada umumnya, Muzik Keroncong terbahagi kepada 4 jenis iaitu:-

  1. Keroncong Asli
  2. Keroncong Langgam
  3. Stambul
  4. Keroncong Ekstra
Kesemua jenis Muzik Keroncong ini masing-masing mempunyai perbezaan dan persamaannya. 
 
Kumpulan yang membentangkan tajuk ini sangat baik dan memuaskan secara keseluruhannya. Mereka juga bernasib baik kerana Fakulti Muzik dan Seni Persembahan mempunyai satu Ensembel Keroncong yang sangat baik malah jika saya tidak silap, Ensembel Keroncong UPSI pernah memenangi pertandingan Muzik Keroncong MAKUM sebagai johan tidak lama dulu. Dengan ini, kumpulan yang membentangkan tajuk ini tidak perlulah bersusah payah pergi ke luar untuk membuat kajian lapangan ini. 
 
Pada pandangan saya, perkembangan Muzik Keroncong kini semakin memberangsangkan. Selepas mengalami evolusi alat muzik keroncong suatu ketika dahulu, Muzik Keroncong kini semakin bergiat dengan wujudnya beberapa jenis-jenis keroncong yang baru terutamanya di Indonesia. Hal ini dapat dilihat dengan wujudnya jenis keroncong seperti Keroncong Beat, Campur Sari, Keroncong Dangdut (Congdut) dan banyak lagi. Walaupun Muzik Keroncong pada masa kini belum menjadi sebahagian dari industri muzik pop namun terdapat beberapa pihak yang masih mengapresiasikan muzik ini. 
 
Mungkin pembentangan ini akan lebih menarik jika diselitkan dengan maklumat tentang fungsi-fungsi Muzik Keroncong pada masa dahulu dan pada masa kini. Ini kerana, melalui pembacaan saya Muzik Keroncong mempunyai beberapa fungsi yang menarik termasuklah sebagai pendidikan, hiburan, ekonomi, sosial dan sebagainya.



 KUDA KEPANG


Gambar 9 : Kuda Kepang

Persembahan Kuda Kepang sangat popular di Semenanjung Malaysia terutamanya di Negeri Johor. Ini kerana seni ini dikatakan berasal dari Jawa dan seperti yang kita sedia maklum bahawa Negeri Johor mempunyai ramai penduduk yang berbangsa Jawa. Kuda Kepang merupakan tarian pahlawan berkuda yang juga dikenali sebagai Jaran Kepang, Kuda Lumping, Jathilan dan Ebeg. Kuda Kepang diperbuat daripada buluh atau pandan yang dianyam namun ada juga yang diperbuat daripada papan lapis atau kulit lembu. Sebelum berlakunya perkembangan Islam, seni tradisional ini dimainkan dalam upacara pemujaan.

Dalam seni persembahan Kuda Kepang, terdapat beberapa alat muzik yang digunakan. Antaranya ialah Gendang Jawa, Gong, Jidur, Kenong Kuda Kepang, Saron Pekin, Angklung dan Bonang.

 
Gambar 10 : Alat Muzik Kuda Kepang

Muzik memainkan peranan yang sangat penting dalam pertunjukan Kuda Kepang. Semua alat-alat muzik di atas ini mempunyai ciri-ciri dan peranan masing-masing. 

Kuda Kepang juga mempunyai pakaiannya yang tersendiri. Pada umumnya, pemain Kuda Kepang akan memakai pakaian tradisional Jawa kuno yang lengkap memakai Ketopang atau Tanjak dan Kain Samping. Seluar pemain pula dijahit dengan menggunakan Kain Kempun iaitu sejenis Batik Jawa. Selain itu, pemain juga akan memakai Tengkolok. Tengkolok terbahagi kepada dua iaitu Tanjak Jawa dan Tanjak Melayu. Kedua-dua tengkolok ini dibezakan melalui cara mengikatnya. 

Kuda Kepang mempunyai cara dan fungsi yang tersendiri dalam persembahannya. Kuda Kepang dipersembahkan di tempat yang terbuka atau di atas pentas yang besar. Ini kerana persembahan ini memerlukan banyak ruang. Persembahan ini juga dimulakan dengan beberapa upacara tradisional seperti membakar kemenyan dan membaca jampi yang dikatakan berfungsi untuk memberi tenaga kepada kuda-kuda. Persembahan Kuda Kepang bergerak mengikut pola yang ditentukan oleh rentak dan irama lagu yang dimainkan. Semakin laju rentak muzik iringan, semakin lajulah kuda itu bergerak.

Dalam persembahan Kuda Kepang memerlukan sekurang-kurangnya 25 orang iaitu 9 orang penari, 5 orang pemain muzik, 2 orang bertindak sebagai 'bomoh pemulih' dan 9 orang penjaga kawasan. Dari segi fungsi pula, pada masa kini persembahan Kuda Kepang lebih kepada hiburan dan biasanya akan dipersembahkan di majlis-majlis keramaian bagi memeriahkan lagi suasana. 

Kuda Kepang juga mempunyai pantang larang yang perlu diikuti. Pantang larang ini termasuklah pantang larang sebelum memulakan tarian, pantang larang pemain alat muzik, pantang larang penari Kuda Kepang, pantang larang Kuda Kepang itu sendiri dan pantang larang penonton.

Kerja lapangan yang dilakukan oleh kumpulan pembentang di Negeri Johor telah sedikit sebanyak menambahkan pengetahuan kita mengenai Kuda Kepang. Walaupun begitu, orang yang ditemubual tidak banyak menceritakan keaslian Kuda Kepang. Mungkin beliau khuatir maklumat yang diberikan bercanggah dengan ajaran agama Islam khususnya yang telah menyebabkan seni tradisional ini telah diharamkan.

Walau bagaimanapun, saya sangat berpuas hati dengan pembentangan yang dilakukan oleh kumpulan ini. Mereka bukan sahaja bersusah payah ke Negeri Johor untuk membuat kerja lapangan ini tetapi juga mempunyai kerjasama ahli kumpulan yang baik. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa pembentangan ini sangat baik secara keseluruhannya. 

Pada pendapat saya, seni tradisional Kuda Kepang ini harus diteruskan dan tidak seharusnya diharamkan. Ini kerana, kita boleh mempersembahkan seni tradisional ini tanpa menggunakan jampi serapah yang dikatakan bertentangan dengan ajaran agama Islam khususnya. Biarlah kita kekalkan yang tidak bercanggah sahaja dan menganggap persembahan Kuda Kepang tidak lebih daripada satu bentuk hiburan tradisional yang unik.

Sekian dan terima kasih....
Teruskan Membaca...

Monday, August 23, 2010

MINGGU 6: JURNAL REFLEKSI



Selamat sejahtera, salam perpaduan dan salam 1 Malaysia...

Sebelum memulakan penulisan jurnal refleksi saya pada minggu ini, masih tidak terlambat lagi untuk saya mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa bagi yang muslim. Pada minggu ini, kami telah mempelajari serba sedikit tentang Makyung dan Kompang. Walau bagaimanapun, kami tidaklah mendalami tajuk ini dengan terperinci kerana selepas ini, terdapat pembentangan tentang tajuk ini yang akan dilakukan oleh rakan sekelas. Seperti biasa, kelas berjalan dengan lancar. Sebagai set induksi, En. Amran telah menunjukkan kami beberapa video Makyung, Mekmulung dan Menora. Selain menyediakan fikiran pelajar dengan tajuk yang akan diajar, kaedah ini juga digunakan untuk mengetahui pengetahuan sedia ada setiap pelajar.


MAKYUNG

Sejarah Makyung


Gambar 1 : Makyong

Makyung adalah dikategorikan dalam kategori drama tari atau seni lakon utama menurut Patricia Matusky. Makyung tidak jauh berbeza dengan Menora, Mekmulung dan Jikey. Perbezaan antara drama tari ini hanyalah dari segi penceritaan atau cerita. Makyung merupakan satu-satunya bentuk seni lakon yang diiktiraf oleh UNESCO. Seperti yang kita tahu, setiap persembahan muzik atau seni lakon tradisional mempunyai identiti masing-masing termasuk Makyung kerana berbeza dari yang lain iaitu menggunakan manusia sebagai pelakon dan bukannya patung seperti yang ada pada Wayang Kulit. Dialog, tarian, muzik vokal dan instrumental merupakan perkara yang sangat diutamakan dalam persembahan Makyung. 

Menurut Prof. Madya Dr. Mohd Ghouse Nasaruddin, Makyung berasal dari perkataan Makyang yang bermaksud semangat padi. Ini kerana masyarakat tradisional pada zaman dahulu menganut kepercayaan anamisme iaitu suatu kepercayaan yang percaya kepada kewujudan roh atau semangat pada setiap benda. Pada ketika itu, masyarakat hanya bergantung kepada aktiviti pertanian sebagai sumber utama makanan untuk terus hidup. Oleh kerana itulah wujudnya perayaan untuk memulihkan roh atau semangat padi yang dipanggil Makyang iaitu Makyung. Perayaan ini tersebar luas di Semenanjung Malaysia, Medan dan Kepulauan Riau-Lingga di Indonesia kira-kira 2oo tahun yang lalu. 

Persembahan Makyung dibawah naungan Sultan Mohamad ke IV. Kampung Temenggung di Kota Bahru merupakan tempat persembahan Makyung yang popular pada ketika itu. Persembahan ini dipertanggungjawabkan kepada Tengku Temenggung Ghaffar yang dipertanggungjawabkan dalam sistem latihan, muzik dan kostum yang diperhalusi secara sistematik. Persembahan Makyung bertukar dari Tradisi Istana kepada Tradisi Rakyat.



Video 1 : Makyung


Berdasarkan video di atas, kita dapat melihat bahawa semua watak utama dibawakan oleh wanita sahaja manakala watak peran atau kelakar diberikan kepada lelaki. Ini kerana pada zaman Kerajaan Melayu Lama, kebanyakan lelaki menjadi hulubalang dan pergi berperang untuk menjaga keamanan. Semasa pemergian mereka, istana menjadi suram maka pada ketika inilah Makyung wujud. Selain itu, ada pendapat yang mengatakan bahawa watak utama hanya diberikan kepada wanita kerana raja khuatir permaisuri akan terpikat dengan pelakon lelaki. Watak kelakar pula diberikan kepada lelaki kerana watak ini cuma watak peran dan muka pelakon akan diconteng. 

Tujuan persembahan Makyung terbahagi kepada dua iaitu sebagai ritual yang dipersembahkan melalui Main Puteri untuk tujuan menyembuhkan penyakit, persembahan sebagai sembah guru dan sebagai persembahan aras panggung sama dengan aras tanah iaitu persembahan Makyung berada di tengah-tengah penonton dan tanpa 'stage'. Tujuan persembahan Makyung yang kedua pula adalah sebagai persembahan semata-mata. 

Gambar 2 : Main Puteri

Makyung membawa cerita asal bertajuk Dewa Muda yang merupakan cerita rakyat. Cerita ini berubah-ubah. Terdapat kira-kira 11 buah cerita dan 30 buah lagu repertoire dan cerita disampaikan melalui dialog, nyanyian, tarian dan diiringi oleh muzik vokal dan instrumental. Watak-watak yang terdapat dalam persembahan Makyung ialah:- 

  • Pakyung dan Pakyung Muda (Watak utama)
  • Makyung dan Puteri Makyung (Raja perempuan)
  • Peran Tua dan Peran Muda (Pengasuh)
  • Tok Wak (Ahli nujum dan tukang)
 Gambar 3 : Watak Peran dalam Makyung


Terdapat 3 jenis lagu Makyung iaitu:- 

Mengadap Rebab
          
Merupakan lagu yang terpanjang yang mengiringi nyanyian dan tarian Pakyung. Lagu ini dinyanyikan sebagai simbol penghormatan kepada Rebab. Ini kerana pemain Rebab sangat penting dan dianggap sebagai guru atau pamurba lagu. Menurut artikel yang ditulis oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (2003), pemain rebab dikenali sebagai Tok Minduk. Namun menurut sesetengah orang yang telah lama berkecimpung dalam muzik tradisional ini seperti penulis lokanbertepuk.com menyatakan bahawa pemain rebab dikenali sebagai Jong Rebab dan bukannya Tok Minduk kerana menurut beliau, istilah Tok Minduk hanya terdapat dalam permainan peteri sahaja.


Video 2 : Mengadap Rebab


Kijang Mas

Merupakan lagu selepas Mengadap Rebab dan dinyanyikan oleh Kumpulan Korus dalam keadaan gembira. Selain itu, lagu ini dinyanyikan oleh Pakyung dan Makyung untuk menceritakan sesuatu pada Korus.

Lagu Sindung

Merupakan lagu yang dinyanyikan Pakyung apabila ingin memberikan arahan kepada peran.



Terdapat pelbagai jenis lagu yang dinyanyikan dalam persembahan Makyung. Antaranya ialah Menghadap Rebab, Lagu Ela, Mengulit Raja Nak Tidur, Jembar, Timang Welu atau Kijang Emas, Sedayung Pakyung dan banyak lagi. Semua lagu ini mempunyai mode yang tersendiri mengikut lagu. Contohnya lagu Mengulit Raja Nak Tidur yang membangkitkan perasaan halus.



Alat Muzik Makyung


Rebab


Gambar 4 : Alat Muzik Rebab

Rebab terdiri daripada sebatang kayu tebal tanpa fret (fretless) yang berfungsi sebagai leher. Bahagian bawah dipanggil 'kaki' dan bahagian atas dipanggil 'kecopong' yang bermotifkan pucuk rebung. 3 utas tali (logam) ditarik dari kekuda yang dipanggil 'pacat' terus ke 'pemulas' untuk tujuan talaan (tuning). Laras talaan ialah jeda perfek ke 4 dan perfek ke 5. Open string ditala mengikut jarak vokal penyanyi. Tali digesek menggunakan tali nilon/tangsi yang dahulunya menggunakan sabut kelapa. Alat muzik rebab dimainkan secara duduk bersila menghadap matahari. Ini kerana pada zaman dahulu, alat muzik ini dimainkan di luar 'outdoor'.

Gambar 5 : Anatomi Rebab


Form atau Bentuk

Bentuk dan struktur lagu-lagu Makyung ditentukan dalam sistem gongan (pusingan-jangka masa tertentu yang ditentukan dengan pic-pic gong). Bentuk ini dikawal oleh Tetawak dan menggunakan sistem gongan 8 bit, 16 bit dan 32 bit.

Irama

Gambar 6 : Bentuk dan Irama

Menggunakan 4 timbre (pak, duh, cak, ting) dalam gaya meningkah (interlocking). Hampir semua lagu Makyung bertempo agak perlahan.

Melodi

Gambar 7 : Melodi Makyung

Melodi dipersembahkan oleh seorang penyanyi dan alat muzik rebab. Dalam persembahan Makyung, melodi yang digunakan adalah berhias dan kompleks. Tekstur melodi ini adalah dalam tekstur Heterofoni.

Untuk mempelajari Makyung dengan lebih lanjut lagi, anda bolehlah mengunjungi laman di bawah ini.







KOMPANG



Video 3 : Kompang Fomasi


Pengenalan Kompang

Kompang berasal dari kebudayaan Arab di Asia Barat (Timur Tengah). Kompang juga dikenali sebagai Dufuf, Daff, Duff, Tar atau Bendir. Di Indonesia, kompang dipanggil Terbang atau Rebana. Alat muzik ini dibawa oleh Pedagang Arab pada kurun ke-13 Masihi. Kompang diklasifikasikan dalam klasifikasi membranofon dalam kelas dram kecil. Dalam masyarakat Melayu, kompang berfungsi sebagai alat untuk meraikan perkahwinan, Majlis Keraian Islam, Maulidulrasul dan berkhatan. Namun dalam masyarakat sosial kini kompang juga digunakan dalam menyambut ketibaan pemimpin dan acara rasmi.

Gambar 8 : Kompang

Sejarah Kompang

Terdapat dua pendapat yang menyatakan tentang sejarah Kompang. Pendapat yang pertama menyatakan bahawa bentuknya sama dengan Hadrah yang terdapat di negara Arab. Pendapat yang kedua pula menyatakan bahawa lirik lagu yang dimainkan selalunya dalam bahasa Arab, contohnya selawat memuji Rasulullah SAW.

Menurut Abdul Latif Ali (1980), permainan kompang dibawa oleh pedagang Arab yang datang berdagang ke Nusantara. Ia digunakan untuk menarik perhatian pembeli terhadap perniagaan mereka. Dipercayai permainan ini menjadi ikutan masyarakat tempatan dan seterusnya berkembang sehingga kini. Manakala permainan Kompang berkembang ke Tanah Melayu akibat imigrasi masyarakat Jawa.

Adab Permainan Kompang

Dalam permainan Kompang, pakaian amat dititikberatkan. Selain itu, pemain tidak boleh melentangkan dan melambung Kompang. Pemain juga tidak boleh meletakkan arah kulit muka Kompang ke lantai.

Alat Muzik Kompang

Gambar 9 : Bahagian Penting Kompang


Pembuatan Alat Muzik Kompang


Gambar 10 : Proses Membuat Kompang


Dalam pembuatan Kompang gred 'A', kulit kambing betina digunakan sebagai bahan utama.

Fungsi Kompang

Antara fungsi permainan kompang ialah:-
  1. Mengiringi aktiviti vokal seperti nyanyian solo atau kumpulan secara ensembel (nasyid, marhaban).
  2. Mengarak pengantin, kanak-kanak berkhatan, berkhatam Quran dan upacara rasmi yang melibatkan pembesar.
  3. Menjadi elemen permainan ensembel lain seperti orkestra, lagu etnik kreatif, cak lempong, cak lempong pacik dan gamelan.
  4. Untuk merangsang semangat pasukan yang bertanding, contohnya pasukan bola sepak bagi memeriahkan acara sukan serta membuat gimik sorakan.
  5. Pertandingan-paluan kompang dan kompang formasi.


Video 4 : Kompang Mengiringi Nyanyian



Video 5 : Kompang Mengarak Pengantin


Jenis Permainan Kompang
Permainan kompang terbahagi kepada beberapa jenis. Antara jenis-jenis kompang ialah:-
  1. Kompang Hadrah (Negeri Perak)
  2. Kompang Johor / Jawa
  3. Kompang Eizhar (Negeri Selangor)
  4. Kompang Kelalang (Negeri Melaka)
Kompang boleh diperolehi dalam saiz yang berbeza mengikut umur tertentu. Antara saiz kompang yang mengikut peringkat umur pemain adalah seperti berikut:-

Gambar 11 : Pelbagai Saiz Kompang
 
Teknik Permainan Kompang

Pegang kompang dengan sebelah tangan sementara sebelah tangan lagi memukulnya. Kompang boleh dimainkan secara duduk atau berdiri. Pada asasnya, kompang menghasilkan dua bunyi iaitu 'pak' dan bunyi 'bung'. Pukulan 'pak' mestilah lebih berat daripada bunyi 'bung'.
Bunyi 'pak' dihasilkan apabila bahagian tengah kompang dipalu dengan tapak tangan sambil jari tangan terbuka. Kekuatan bunyi adalah hasil daripada pukulan tapak jari. Untuk menghasilkan bunyi yang tepat, sentuh tapak ibu jari dan jari anak mendahului jari yang lain semasa memukul.

Bunyi 'bung' dihasilkan apabila bahagian tepi permukaan kompang iaitu 1/3 daripada permukaan dipukul dengan jari. Manakala kesemua jari berkeadaan tertutup semasa membuat pukulan.
 
 Gambar 12 : Kedudukan Kompang di Tapak Tangan


Gambar 13 : Teknik Bermain Kompang

Gambar 14 : Posisi Kompang Secara Berdiri Untuk Perarakan
Gambar 15 : Posisi Pemain Kompang


Jenis Pukulan / Paluan

Terdapat tiga jenis paluan digabungkan untuk menghasilkan paduan bunyi yang berharmoni. Tiga kumpulan paluan tersebut dipanggil Melalu, Meningkah dan Menyilang. Fungsi paluan ini adalah seperti berikut:-
  1. Kumpulan melalu memainkan rentak asas.
  2. Kumpulan menyilang memainkan rentak pilihan (up beat) kepada pukulan melalu.
  3. Kumpulan meningkah menjadi penghias rentak yang dimainkan paluan antara kumpulan melalu dan menyilang.
Setiap persembahan kompang terdiri daripada tiga bahagian pukulan iaitu pukulan 'mula' untuk memainkan sesebuah lagu, pukulan lagu dan pukulan 'mati' untuk mengakhiri sesebuah lagu.

Penjagaan Kompang

Kompang dalam simpanan seharusnya dikendurkan permukaannya. Sebelum memulakan permainan kompang, permukaannya perlu ditegangkan dengan sedak. Kompang yang basah seharusnya dijemur sehingga kering supaya tahan lebih lama.
Semasa dalam simpanan juga, kompang perlu diletakkan dengan berkeadaan muka kompang bertindan dengan permukaan lain dan disusun di rak atau almari yang sesuai. Ini untuk mengelakkan kerosakan muka kompang apabila ditindani oleh baluh kompang.

Penalaan Kompang
Penalaan kompang bertujuan untuk meninggikan ton bunyi kompang dan menegangkan permukaannya dengan menggunakan sedak. Sedak boleh dibuat daripada rotan atau wayar plastik. Sedak ditolak dengan kayu sedak di sekeliling bahagian dalam, di antara baluh dan belulang kompang.


Rentak Kompang


Video 6 : Rentak Inang



Video 7 : Rentak Masri



Video 8 : Rentak Asli


Untuk mempelajari tajuk ini dengan lebih lanjut, anda boleh melawati laman di bawah ini.

http://www.flixya.com 

http://smksrkelabkompang.blogspot.com 

Sekian....
Teruskan Membaca...

Friday, August 13, 2010

MINGGU 5: JURNAL REFLEKSI


Selamat sejahtera, salam perpaduan dan salam 1 Malaysia...

Selamat datang ke blog saya untuk subjek SMP2252 Malaysian Traditional Music. Kali ini saya akan menulis sedikit berkenaan dengan Muzik Gamelan dan Muzik Cak Lempong. Saya meminta maaf kepada En. Amran selaku pensyarah subjek ini kerana masuk kelas lewat sedikit pada minggu ini. Seperti biasa kelas berjalan dengan lancar dan menarik dengan persembahan video Gamelan Bali sebagai set induksi.



Video 1 : Gamelan Bali

Berdasarkan pengetahuan sedia ada saya terhadap muzik gamelan, Gamelan Bali (Video 1) sememangnya mempunyai beberapa perbezaan daripada Gamelan Jawa mahupun gamelan yang lain. Salah satu ciri yang sangat ketara ialah, Gamelan Bali ini dimainkan di luar (outdoor) manakala muzik gamelan lain lebih banyak dimainkan di dalam bilik (indoor). Selain itu, berdasarkan video di atas, ternyata muzik Gamelan Bali sering mengalami perubahan dari segi tempoh dan dinamik. Dalam ensembel Gamelan Bali juga memiliki lebih banyak alat berbilah.

Dari segi pembuatan alat pula, logam Gamelan Bali lebih tebal sehingga dapat mengeluarkan bunyi yang nyaring. Hal ini sangat penting kerana muzik gamelan ini dimainkan secara 'outdoor'. Mengikut http://id.wikipedia.org/wiki/Gamelan_Bali, ciri yang lain bagi gamelan ini ialah gamelan ini menggunakan sejenis simbal yang dikenali sebagai ceng-ceng. Simbal ini menghasilkan bunyi yang nyaring dan sekaligus membezakan Gamelan Bali daripada gamelan yang lain seperti Gamelan Jawa.



GAMELAN

Pengenalan Gamelan

Perkataan Gamelan berasal dari bahasa Jawa. "Gamel" membawa maksud memukul atau menabuh manakala perkataan akhiran "an" pula berfungsi sebagai kata nama yang merujuk kepada sesuatu benda. Ini mungkin kerana peralatan muzik gamelan tergolong dalam kumpulan alat perkusi yang dibunyikan dengan cara ditabuh atau dipukul. Alat muzik gamelan diperbuat daripada perunggu dan kayu, dan ada juga dari besi serta bambu. Alat-alat ini mempunyai sistem larasan yang tetap (fixed tuning). Permainan muzik gamelan dilakukan secara ensembel. Persembahannya hanyalah lengkap dan sempurna apabila dimainkan secara berkumpulan. Namun muzik gamelan juga boleh dipersembahkan secara tunggal (solo).

Gamelan dipercayai wujud semenjak T.M 1 iaitu dengan terciptanya alat gamelan yang pertama yang dikenali sebagai gong. Kemudian, alat-alat yang lain mula dicipta mengikut peredaran zaman. Pada awal tamadun Melayu, gong merupakan alat yang penting, dibunyikan sebagai tanda sesuatu upacara bermula atau sesuatu peristiwa berlaku. Malah tradisi ini masih digunapakai sehingga kini. Contohnya semasa perasmian sesuatu majlis di mana perasmi akan memukul gong untuk merasmikan majlis tersebut.

Gambar 1 : Memukul Gong Semasa Perasmian Majlis

Pada zaman Pemerintahan Kerajaan Demak di Jawa, gamelan digunakan untuk berdakwah oleh ahli sunan (kiai). Kini gamelan dikenali di seluruh dunia sebagai muzik etnik yang unik yang mempunyai keistimewaannya tersendiri.

Gamelan dipercayai berasal dari Indonesia, tetapi terdapat juga alat gamelan yang serupa di negara jiran seperti Filipina, Thailand, Cambodia dan sebahagian Vietnam. Di antaranya ialah Kulintangan di Sabah, Sarawak, Brunei, Mindanao dan Celebes. Namanya mungkin berbeza dari satu tempat ke tempat lain tetapi bentuk alat serta susunannya adalah lebih kurang sama. Seperti yang kita tahu, muzik gamelan mempunyai banyak jenis namun pembelajaran ini hanya memfokuskan kepada dua jenis gamelan iaitu Gamelan Melayu dan Gamelan Jawa.

Gambar 2 : Kulintangan



JENIS-JENIS GAMELAN

Gamelan Melayu

Sejarah

Gamelan Melayu dikategorikan sebagai Muzik Bentuk Tarian Utama. Gamelan Melayu juga disebut sebagai Gamelan Terengganu dan lebih dikenali sebagai Joget Gamelan. Gamelan diperkenalkan di Pahang ketika pemerintahan Sultan Ahmad Muadzam Shah. Tengku Ampuan iaitu Wan Fatimah telah meningkatkan muzik gamelan dan diikuti oleh isteri kedua sultan iaitu Che Zubaida. Puteri mereka iaitu Tengku Ampuan Mariam, telah berkahwin dengan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah pada 1913 dan telah membawa gamelan ke Terengganu.

Gambar 3 : Sultan Ahmad Shah dan Che Zubaida



Gambar 4 : Sultan Sulaiman dan Tengku Ampuan Mariam


Pada tahun 1914 iaitu apabila Sultan Ahmad Shah mangkat, isterinya Che Zubaida telah berangkat ke Terengganu untuk tinggal bersama puterinya, Tengku Ampuan Mariam di istana. Tengku Ampuan Mariam amat meminati gamelan dan dengan itu pada tahun 1915, set gamelan di bawah jagaannya di Pahang telah dibawa ke Istana Maziah di Terengganu dan melatih pemuda pemudi Terengganu untuk bermain serta menari gamelan.


Gambar 5 : Istana Maziah (1933)

Gambar 6 : Istana Maziah (2010)


Pada tahun 1920, selepas kemahkotaan Sultan Sulaiman, usaha dipergiatkan dengan membawa bekas penari Pahang iaitu Yang Khoja dan Cik Meriam untuk melatih penari Terengganu dan dinaungi oleh Tengku Ampuan Mariam sendiri. Demikian juga En.Wan Mohd, En.Wan Ahmad dan En. Ahin iaitu bekas pemain muzik gamelan Pahang diarahkan untuk melatih kumpulan gamelan Terengganu yang dikelolakan oleh Sultan Sulaiman.

Sehingga 1936, Sultan dan permaisuri telah berjaya memiliki set gamelan sendiri. Berbagai-bagai lagu dan tarian dicipta termasuk Lambang Sari, Geliung, Ketam Renjong, Togok, Gagak, Seteru, Lancang Kuning dan sebagainya. Dengan penciptaan lagu baru, sistem tuning, instrumentasi dan melodi telah membawa kepada perpisahan antara Gamelan Jawa dan Gamelan Melayu. Tengku Ampuan Mariam telah menulis sebuah manuskrip mengenai tarian gamelan sementara Sultan Sulaiman telah bertanggungjawab menukarkan nama "Joget Pahang" kepada "Joget Gamelan Terengganu".

Bagaimanapun, Gamelan Terengganu mengalami kejatuhan pada zaman penaklukan Jepun pada tahun 1941 dan kemangkatan Sultan Sulaiman pada tahun 1942. Tengku Mariam berpindah ke Istana Kolam dengan membawa set gamelan bersama 2 orang bekas penarinya. Set gamelan telah dikembalikan ke Pahang pada tahun 1973 setelah berlakunya tawar-menawar yang tidak menyenangkan antara kerajaan Pahang dan kerajaan Terengganu. Set gamelan tersebut telah dianugerahkan kepada Muzium Pahang di Pekan dan dipamerkan.

Sumber : http://rockapak.org/forum/index.php?topic=7040.0



Video 2 : Persembahan Muzik Gamelan Melayu


Alat Muzik Gamelan Melayu


Gambar 7 : Bonang

Gambar 8 : Gambang

Gambar 9 : Kenong

Gambar 10 : Saron Barung

Gambar 11 : Saron Peking (Penerus)

Gambar 12 : Gendang 2 Muka

Gambar 13 : Gong


Sistem Talaan dan Fungsi Alat Muzik


Gambar 14 : Sistem Talaan


Muzik Gamelan Melayu hanya menggunakan dua kategori alat muzik iaitu idiofon dan membranofon. Dalam kategori alat muzik idiofon, Gamelan Melayu mempunyai 1 Gong Ageng yang menghasilkan register paling rendah yang menentukan pusingan bentuk muzik (musical form). Selain itu, muzik gamelan ini juga menggunakan 1 Gong Suwuk yang juga menghasilkan register rendah dan berfungsi sebagai penanda masa.

Alat muzik seperti Kenong yang bercirikan alat muzik Chime juga digunakan sebagai penanda masa serta diapungkan. Muzik Gamelan Melayu juga menggunakan Saron iaitu alat muzik yang mempunyai ciri metalofon. Terdapat dua jenis Saron iaitu Saron Barung dan Saron Peking (doubling note) dan kedua-dua alat muzik ini berbentuk bilahan. Alat muzik dalam kategori idiofon yang terakhir ialah Gambang. Alat ini terdiri daripada 3 oktaf lebih dan merupakan alat muzik yang mempunyai ciri zailofon. Dalam kategori alat muzik membranofon pula, Muzik Gamelan Melayu menggunakan 1 gendang 2 muka yang berfungsi sebagai tulang belakang bagi ensembel ini.


Gamelan Jawa

Pengenalan dan Sejarah

Muzik Gamelan Jawa dikategorikan sebagai Muzik Bentuk Tarian Utama. Definisi terkini bagi Gamelan ialah orkestra yang didominasikan alat muzik gangsa iaitu terdapat alat muzik kordofon, erofon dan membranofon berserta penyanyi perempuan dan lelaki. Muzik gamelan ini berasal dari Pulau Jawa Tengah dan dibawa oleh orang-orang Jawa ketika penjajahan orang-orang Eropah. Kesenian muzik ini merangkumi tarian, wayang kulit purwa dan kuda kepang. Di bahagian Selatan Semenanjung Malaysia, berbagai-bagai bentuk tarian dan wayang Jawa masih dipersembahkan dengan iringan Gamelan Jawa.



Video 3 : Tarian Kupu-Kupu


Selain itu, muzik Gamelan Jawa juga mengiringi tarian seperti Tarian Kifrah, Serimpi Lilin, Kupu-kupu dan Cakil. Alat-alat gamelan pula didapati digunakan bagi mengiringi Riog, Barungan dan Kuda Kepang. Muzik Gamelan Jawa juga biasanya digunakan di majlis perkahwinan, berkhatan dan sebagainya. Gamelan jenis ini boleh didapati di Johor, Selangor dan Wilayah Persekutuan. Muzik Gamelan Jawa memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan rakyat iaitu sebagai permainan rakyat dan bukannya terhad untuk persembahan istana sahaja.



Video 4 : Gamelan Jawa


Alat Muzik Gamelan Jawa


Gambar 15 : Alat Muzik Gamelan Jawa

Gambar 16 : Alat Muzik Gamelan Jawa

Set alat Gamelan Johor/Jawa adalah lebih banyak dan permainannya lebih kompleks. Muzik gamelan jenis ini memgandungi 9 alat iaitu gendang (ketipung, jiblon, bem), bonang/keromong, demung, saron barung, saron penerus/pekin, gambang, kenong, kempol dan gong.

Gamelan Jawa dimainkan dalam skel Slendro dan Pelog. Skel Pelog mengandungi 7 ton dan jeda di antara not agak berbeza iaitu di antara 1/2 ton dengan minor ke-3.

Gambar 17 : Skel Pelog




PERBANDINGAN ANTARA GAMELAN JAWA DAN GAMELAN TERENGGANU

Perbezaan dan persamaan antara dua jenis gamelan ini dapat dilihat melalui jadual di bawah.

Gambar 18 : Perbezaan


Gambar 19 : Persamaan




NOTASI GAMELAN

Muzik gamelan tidak menggunakan sistem notasi. Notasi tidak penting bagi muzik ini dan lagu lama tidak dicatat. Muzik ini dipelajari secara tidak formal iaitu melalui pendengaran bermula dengan yang mudah dan beransur kepada yang kompleks. Pada abad ke-19, sistem menggunakan nombor diperkenalkan untuk memudahkan pemuzik memainkan 'repertoire' atau lagu yang telah banyak berkembang. Sistem menggunakan nombor ini dikenali sebagai Sistem Kepatihan dan sistem ini kekal digunakan sehingga kini.

Gambar 20 : Manuskrip Tarian Gamelan



TEKSTUR GAMELAN

Tekstur muzik gamelan adalah polifoni. Polifoni bermaksud gubahan yang mempunyai banyak lapisan suara. Ciri utama muzik gamelan ialah bentuknya yang berulang. Setiap frasa diulang muziknya dan bergerak dalam bentuk bulatan. Permainan gamelan memerlukan kemahiran muzikal serta teknikal, perasaan yang peka kepada tekstur keseluruhan serta kerjasama dan hubungan yang baik di antara setiap alat atau pemain.


CAKLEMPONG

Sejarah

Muzik tradisional Caklempong dibawa ke Malaysia oleh orang-orang Minangkabau yang menetap di Negeri Sembilan seawal abad ke-14. Semenjak dari itu, tradisi Caklempong yang berkembang di Malaysia terus mendapat pengaruh daripada tradisi Minangkabau di Sumatera. Muzik ini juga dikenali sebagai telempong, tak lempong atau talempong. Muzik ini terdapat di Daerah Lenggeng, Kuala Pilah dan Jelebu di Negeri Sembilan. Dahulunya, Caklempong bukan sahaja dimainkan sebagai hiburan pada masyarakat umum tetapi juga semasa istiada penabalan sultan. Hari ini Caklempong dimainkan untuk pelbagai upacara rasmi negeri dan perayaan kebudayaan seperti upacara perkahwinan.



Video 5 : Tarian Lilin


Muzik Caklempong juga turut mengiringi pencak silat, tarian lilin, tarian piring dan tarian inai. Muzik ini juga terdapat dalam drama tari randai. Dalam sesebuah persembahan randai yang biasa dipersembahkan, suatu masa rehat diberi kepada ahli kumpulan persembahan untuk mereka berehat. Pada kebiasaannya, jangka masa ini akan diisikan dengan lawak jenaka atau persembahan ensembel Caklempong untuk mengekalkan perhatian para penonton.


Gambar 21 : Pencak Silat


Caklempong adalah alat muzik tradisional dari keluarga idiofon yang menggunakan skel diatonik. Kini, Caklempong ialah muzik tradisional warisan bangsa yang menjadi kebanggaan negara kita. Untuk majlis perasmian, Caklempong selalunya digunakan sebagai muzik iringan di dalam sesuatu pertunjukan silat atau tarian. Ianya juga digunakan di dalam majlis Diraja seperti istiadat pertabalan dan juga majlis keraian korporat. Di dalam majlis perkahwinan pula, Caklempong dipersembahkan untuk memeriahkan lagi upacara persandingan pengantin.

Di dalam tradisi dahulukala, muzik tradisional seperti Caklempong memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seharian mereka. Selain daripada sumber hiburan, muzik ini juga dapat menyatupadukan masyarakat dan penduduk setempat.



ALAT MUZIK CAKLEMPONG

Ensembel Caklempong terdiri daripada sekurang-kurangnya tiga set gong berbusut kecil yang disusun dalam barisan mendatar dan setiap set gong diletakkan pada rak yang ditentukan. Dalam bidang muzikologi alat tersebut biasanya dikenali sebagai gongchime. Gong-chime adalah satu set gong kecil yang disusun secara mendatar pada rak dan alat ini boleh didapati di seluruh rantau Asia Tenggara. Di Tanah Besar Asia Tenggara, gong-gong kecil dan berbusut diletakkan pada rak yang berbentuk separa bulat seperti Kyi-Waing di Myanmar dan Khong Wong di Thailand. Di Kepulauan Asia Tenggara, rak dibina berbaris-baris seperti bonang di Jawa, trompong di Bali, kulintang di Filipina, canang di Semenanjung Malaysia dan Kulintangan serta engkuromong di Sabah dan Sarawak.

Menurut tradisi Minangkabau yang terdapat di Sumatera Barat dan Semenanjung Malaysia, gong-chime dikenali sebagai Caklempong. Terdapat pelbagai gaya kedaerahan dalam instrumentasi dan repertoire yang juga menggambarkan kepelbagaian nama yang diberikan kepada peralatan muzik ini. Pada umumnya, gong berbusut mempunyai garis pusat lebih kurang 14 cm di bahagian atas, busutnya pula berukuran lebih kurang 2.5 cm dan tinggi gong lebih kurang 8-10 cm. Gong dipukul dengan pemukul yang berbalut.



Video 6 : Muzik Caklempong


Bonang


Gambar 22 : Bonang


Bonang Caklempong diperbuat daripada perunggu atau tembaga. Bentuknya sama seperti gong atau tetawak kecil. Saiznya sama besar dengan sebuah piring. Seperti gong, bonang juga mempunyai cembol atau tombol bulat di bahagian tengahnya. Bahagian inilah yang perlu diketuk. Bonang diatur di atas dua baris tali yang telah diikat di dalam tepak Caklempong. Penalaan (tuning) boleh dilakukan dengan cara mengetuk permukaan bahagian dalam cembol untuk mendapatkan pic yang tinggi. Penalaan pic yang rendah ialah dengan cara mengetuk permukaan bahagian luar cembol.


Gereteh


Gambar 23 : Gereteh


Gereteh terdiri daripada 15 biji bonang yang disusun dalam nada C Major satu oktaf, termasuk 7 not pilihan. Seelok-eloknya satu Ensembel Caklempong mempunyai dua set gereteh supaya set gereteh yang kedua dapat memainkan kaunter melodi.


Tingkah

Gambar 24 : Tingkah


Tingkah terdiri daripada lapan biji bonang yang bermula dari not E, F, G, A, Bb, B, C dan D. Permainan bonang tinkah banyak tertumpu kepada pengawalan rentak dan menghasilkan irama mengikut pukulan gendang. Ketukan hanya melalu dan mudah dimainkan.


Sauwa

Sauwa mempunyai lapan biji bonang. Bentuknya sama sahaja dengan tingkah. Bonang Sauwa diketuk mengikut corak irama ostinato dan bergerak mengikut kod melodi. Corak irama ostinato yang sesuai hendaklah terlebih dahulu diajarkan kepada pemain sauwa. Notasi Tingkah dan Sauwa tidak disediakan, hanya kod blok sahaja disediakan. Notasi untuk Sauwa bermula dari not E rendah (1 oktaf di bawah notasi Gereteh).


Gendang Ibu dan Gendang Anak


Gambar 25 : Gendang Ibu dan Gendang Anak

Gendang mempunyai dua saiz. Gendang Ibu lebih kurang 2 cm lebih besar daripada Gendang Anak. Baluh berbentuk cembung dan dua muka kulit gendang diperbuat daripada kulit kambing atau lembu yang diikat pada baluh dengan tali. Muka kulit gendang dipukul dengan tangan oleh dua orang pemain untuk menghasilkan rentak terhasil (resultant rhythmic pattern) melalui teknik permainan bertingkah.


Bangsi dan Serunai


Gambar 26 : Bangsi


Gambar 27 : Serunai


Alat muzik erofon yang terdapat dalam ensembel Caklempong tradisional sama ada Bangsi (berbentuk rekorder, lebih kurang 17 cm panjang) atau Serunai (paip pelidah) atau Pupuik (alat tiupan jenis pelidah daripada golongan daun kelapa). Bangsi diperbuat daripada buluh dengan 7 lubang jari yang dapat menghasilkan skel 7 pic yang berpadanan dengan nada Gereteh. Serunai diperbuat daripada sebatang buluh yang kecil yang panjangnya lebih kurang 17 cm. Di samping itu sebuah paip buluh yang lebih kecil berukuran 6 cm dan mempunyai pelidah dimasukkan ke dalam hujung serunai. Serunai mempunyai 4 lubang jadi dan menghasilkan muzik berasaskan skel pentatonik.

Pupuik terdiri daripada pupuik gadang (diperbuat daripada daun kelap) dan pupuik tanduk (diperbuat daripada tanduk kerbau). Kebiasaannya alat erofon ini memainkan melodi yang sama dengan Gereteh terutama dalam lagu yang dihasilkan.

Dalam Ensembel Caklempong moden, Gereteh, Tingkah dan Sauwa dikekalkan tetapi alat mengiringi ensembel itu mungkin juga gitar dan gitar elektrik, dram barat atau rebano (rebana), akordion, mandolin serta alat lain. Lagu-lagu yang dimainkan adalah daripada repertoire randai tradisional hinggalah kepada melodi kontemporari atau sezaman.

Rupabentuk, penjarian dan cara meniup Bangsi adalah serupa dengan rekorder. Meniup Bangsi adalah lebih mudah daripada meniup rekorder kerana alat ini boleh ditiup dengan kuat tanpa menaikkan tonnya. Bangsi diperbuat daripada jenis buluh yang baik di mana ianya direndam, dijemur dan diawet sebelum dijadikan Bangsi. Serunai pula diperbuat daripada buluh tetapi jauh lebih kecil daripada Bangsi. Serunai hanya berukuran lebih kurang 14 cm dan hanya mempunyai 4 lubang. Serunai hanya boleh menghasilkan 5 not iaitu C, D, E, F dan G.

Kayu Pengetuk


Gambar 28 : Kayu Pengetuk

Kayu pengetuk Caklempong berukuran kira-kira 22 cm panjang. Satu pertiga daripada kayu pengetuk dibalut dengan tali gasing supaya apabila diketukkan ke cembul Caklempong hasil bunyinya tidak terlalu nyaring.



SUSUNAN ALAT CAKLEMPONG

Susunan alat muzik Caklempong boleh dilihat melalui gambarajah yang ditunjukkan di bawah ini.


Gambar 29 : Susunan Alat Caklempong


Gambar 30 : Susunan Alat Caklempong



NOTASI CAKLEMPONG

Notasi Caklempong boleh dilihat melalui gambarajah di bawah ini.

Gambar 31 : Notasi Caklempong



SKEL CAKLEMPONG

Pic-pic dalam muzik Caklempong kontemporari berdasarkan kepada skel diatonik Barat terutamanya skel C Major. Pic-pic yang biasa pada Ensembel Caklempong adalah seperti rajah di bawah ini.

Gambar 32 : Skel Caklempong

Melodi lagu dinotasikan dengan menggunakan sistem nombor, walaupun terdapat berbagai-bagai kaedah notasi dan teknik permainan muzik tradisional di Malaysia dan Sumatera.

Sumber : http://worldcaklempong.blogspot.com/



Pada akhir kuliah ini, pelajar pengayaan diri telah dibawa ke Bilik Tradisional untuk berkenalan dengan Alat Muzik Gamelan. Walaupun saya bukanlah seorang yang pakar dalam memainkan alat muzik ini, tetapi dengan berkat pembelajaran subjek Gamelan yang saya ambil pada semester-semester yang lepas, dapatlah saya menunjuk ajar salah seorang pelajar pengayaan diri untuk memainkan lagu yang mudah iaitu Timang Burung. Saya sangat gembira kerana dapat membantu. Saya berharap pelajar yang mengambil subjek ini sebagai pengayaan diri tertarik dengan pembelajaran ini dan sekaligus mendapat sedikit pengalaman bermain alat muzik Gamelan. Semoga berjumpa lagi di minggu hadapan! Sekian...



Teruskan Membaca...
 

Blog Pelajar Kumpulan A

Blog Pelajar Kumpulan B

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 MARLIN Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template