Monday, August 30, 2010

MINGGU 7: JURNAL REFLEKSI


Selamat sejahtera, salam perpaduan dan salam 1 Malaysia...

Sebelum memulakan jurnal refleksi saya pada minggu ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua kumpulan yang telah berjaya membuat pembentangan. Pada minggu ini, pembentangan lebih kepada tajuk Keroncong dan Kuda Kepang. Pembentangan yang dilakukan oleh rakan-rakan saya sangat menarik. Tidak hairanlah pembentangan ini mendapat interaksi 2 hala di dalam kelas. Perkara ini membuatkan saya lebih bersemangat mengikuti pembelajaran yang dibentangkan mungkin kerana cara penyampaian rakan-rakan saya sangat menarik dan tidak membosankan.



KERONCONG

Gambar 1 : Ensembel Keroncong
 
Keroncong merupakan satu ensembel muzik yang tidak asing lagi bagi masyarakat Melayu khususnya di Semenanjung Malaysia. Ada pendapat yang mengatakan bahawa muzik keroncong berasal dari Portugis. Ini kerana muzik ini mempunyai persamaan dari segi alat muzik dan cara dipersembahkan dengan satu seni muzik di Portugal namun pendapat ini tidak mudah diterima.

Muzik Keroncong mempunyai banyak persamaan dengan Muzik Gamelan yang juga merupakan satu ensembel muzik yang popular di Jawa. Persamaan ini boleh dilihat dari segi rentak hinggalah ke melodinya. Muzik Keroncong telah mengalami evolusi alat muzik pada suatu ketika dahulu sehinggalah pada masa kini alat muzik tersebut telah dikekalkan. Alat muzik Keroncong terbahagi kepada 7 jenis alat iaitu Biola, Seruling, Gitar, Ukulele, Tenor Banjo, Cello dan Double Bass. 

Gambar 2 : Biola (Violin)

Gambar 3 : Seruling (Flute)

Gambar 4 : Gitar

Gambar 5 : Ukulele (Cuk)

Gambar 6 : Tenor Banjo (Cak)

Gambar 7 : Cello

Gambar 8 : Double Bass

Jika dilihat alat-alat yang tersebut di atas merupakan alat-alat muzik yang berasal dari Eropah dan kesemua alat muzik ini mempunyai peranan masing-masing dalam ensembel Keroncong. 

Pada umumnya, Muzik Keroncong terbahagi kepada 4 jenis iaitu:-

  1. Keroncong Asli
  2. Keroncong Langgam
  3. Stambul
  4. Keroncong Ekstra
Kesemua jenis Muzik Keroncong ini masing-masing mempunyai perbezaan dan persamaannya. 
 
Kumpulan yang membentangkan tajuk ini sangat baik dan memuaskan secara keseluruhannya. Mereka juga bernasib baik kerana Fakulti Muzik dan Seni Persembahan mempunyai satu Ensembel Keroncong yang sangat baik malah jika saya tidak silap, Ensembel Keroncong UPSI pernah memenangi pertandingan Muzik Keroncong MAKUM sebagai johan tidak lama dulu. Dengan ini, kumpulan yang membentangkan tajuk ini tidak perlulah bersusah payah pergi ke luar untuk membuat kajian lapangan ini. 
 
Pada pandangan saya, perkembangan Muzik Keroncong kini semakin memberangsangkan. Selepas mengalami evolusi alat muzik keroncong suatu ketika dahulu, Muzik Keroncong kini semakin bergiat dengan wujudnya beberapa jenis-jenis keroncong yang baru terutamanya di Indonesia. Hal ini dapat dilihat dengan wujudnya jenis keroncong seperti Keroncong Beat, Campur Sari, Keroncong Dangdut (Congdut) dan banyak lagi. Walaupun Muzik Keroncong pada masa kini belum menjadi sebahagian dari industri muzik pop namun terdapat beberapa pihak yang masih mengapresiasikan muzik ini. 
 
Mungkin pembentangan ini akan lebih menarik jika diselitkan dengan maklumat tentang fungsi-fungsi Muzik Keroncong pada masa dahulu dan pada masa kini. Ini kerana, melalui pembacaan saya Muzik Keroncong mempunyai beberapa fungsi yang menarik termasuklah sebagai pendidikan, hiburan, ekonomi, sosial dan sebagainya.



 KUDA KEPANG


Gambar 9 : Kuda Kepang

Persembahan Kuda Kepang sangat popular di Semenanjung Malaysia terutamanya di Negeri Johor. Ini kerana seni ini dikatakan berasal dari Jawa dan seperti yang kita sedia maklum bahawa Negeri Johor mempunyai ramai penduduk yang berbangsa Jawa. Kuda Kepang merupakan tarian pahlawan berkuda yang juga dikenali sebagai Jaran Kepang, Kuda Lumping, Jathilan dan Ebeg. Kuda Kepang diperbuat daripada buluh atau pandan yang dianyam namun ada juga yang diperbuat daripada papan lapis atau kulit lembu. Sebelum berlakunya perkembangan Islam, seni tradisional ini dimainkan dalam upacara pemujaan.

Dalam seni persembahan Kuda Kepang, terdapat beberapa alat muzik yang digunakan. Antaranya ialah Gendang Jawa, Gong, Jidur, Kenong Kuda Kepang, Saron Pekin, Angklung dan Bonang.

 
Gambar 10 : Alat Muzik Kuda Kepang

Muzik memainkan peranan yang sangat penting dalam pertunjukan Kuda Kepang. Semua alat-alat muzik di atas ini mempunyai ciri-ciri dan peranan masing-masing. 

Kuda Kepang juga mempunyai pakaiannya yang tersendiri. Pada umumnya, pemain Kuda Kepang akan memakai pakaian tradisional Jawa kuno yang lengkap memakai Ketopang atau Tanjak dan Kain Samping. Seluar pemain pula dijahit dengan menggunakan Kain Kempun iaitu sejenis Batik Jawa. Selain itu, pemain juga akan memakai Tengkolok. Tengkolok terbahagi kepada dua iaitu Tanjak Jawa dan Tanjak Melayu. Kedua-dua tengkolok ini dibezakan melalui cara mengikatnya. 

Kuda Kepang mempunyai cara dan fungsi yang tersendiri dalam persembahannya. Kuda Kepang dipersembahkan di tempat yang terbuka atau di atas pentas yang besar. Ini kerana persembahan ini memerlukan banyak ruang. Persembahan ini juga dimulakan dengan beberapa upacara tradisional seperti membakar kemenyan dan membaca jampi yang dikatakan berfungsi untuk memberi tenaga kepada kuda-kuda. Persembahan Kuda Kepang bergerak mengikut pola yang ditentukan oleh rentak dan irama lagu yang dimainkan. Semakin laju rentak muzik iringan, semakin lajulah kuda itu bergerak.

Dalam persembahan Kuda Kepang memerlukan sekurang-kurangnya 25 orang iaitu 9 orang penari, 5 orang pemain muzik, 2 orang bertindak sebagai 'bomoh pemulih' dan 9 orang penjaga kawasan. Dari segi fungsi pula, pada masa kini persembahan Kuda Kepang lebih kepada hiburan dan biasanya akan dipersembahkan di majlis-majlis keramaian bagi memeriahkan lagi suasana. 

Kuda Kepang juga mempunyai pantang larang yang perlu diikuti. Pantang larang ini termasuklah pantang larang sebelum memulakan tarian, pantang larang pemain alat muzik, pantang larang penari Kuda Kepang, pantang larang Kuda Kepang itu sendiri dan pantang larang penonton.

Kerja lapangan yang dilakukan oleh kumpulan pembentang di Negeri Johor telah sedikit sebanyak menambahkan pengetahuan kita mengenai Kuda Kepang. Walaupun begitu, orang yang ditemubual tidak banyak menceritakan keaslian Kuda Kepang. Mungkin beliau khuatir maklumat yang diberikan bercanggah dengan ajaran agama Islam khususnya yang telah menyebabkan seni tradisional ini telah diharamkan.

Walau bagaimanapun, saya sangat berpuas hati dengan pembentangan yang dilakukan oleh kumpulan ini. Mereka bukan sahaja bersusah payah ke Negeri Johor untuk membuat kerja lapangan ini tetapi juga mempunyai kerjasama ahli kumpulan yang baik. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa pembentangan ini sangat baik secara keseluruhannya. 

Pada pendapat saya, seni tradisional Kuda Kepang ini harus diteruskan dan tidak seharusnya diharamkan. Ini kerana, kita boleh mempersembahkan seni tradisional ini tanpa menggunakan jampi serapah yang dikatakan bertentangan dengan ajaran agama Islam khususnya. Biarlah kita kekalkan yang tidak bercanggah sahaja dan menganggap persembahan Kuda Kepang tidak lebih daripada satu bentuk hiburan tradisional yang unik.

Sekian dan terima kasih....

0 comments:

Post a Comment

 

Blog Pelajar Kumpulan A

Blog Pelajar Kumpulan B

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 MARLIN Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template