Saturday, October 30, 2010

MINGGU 13: JURNAL REFLEKSI


Selamat sejahtera dan salam perpaduan dan salam 1 Malaysia...

Sebelum memulakan apa-apa bicara, saya ingin mengucap syukur kerana berjaya menghabiskan subjek SMP2252 Malaysian Traditional Music. Untuk pengetahuan semua, subjek ini merupakan salah satu subjek wajib bagi pelajar Pendidikan Muzik (AT22). Subjek ini diajar oleh En.Amran Aris dan dekan Fakulti Seni dan Persembahan iaitu Prof. Madya Dr. Mohd Hassan bin Abdullah. Sepanjang saya belajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), inilah subjek pertama yang memperkenalkan penulisan jurnal refleksi melalui blog. Seiring dengan kemajuan teknologi khususnya kemudahan internet seperti Youtube, Blog, Facebook dan sebagainya telah memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran subjek ini.

Secara peribadi, saya mengakui bahawa pada permulaannya saya merasa terbeban kerana terpaksa membuat akaun blog individu sebagai langkah pertama untuk penulisan jurnal refleksi setiap minggu. Namun perasaan terbeban itu hilang selepas En. Amran selesai menunjukkan cara untuk membuatnya. Secara jujur saya katakan bahawa pembuatan akaun blog ini tidaklah sesusah seperti yang saya sangkakan apatah lagi kebanyakan pelajar mempunyai komputer riba sendiri dan telah terdedah dengan penggunaan internet sebelum ini. Saya juga tidak terkecuali kerana sebelum saya menyambung pelajaran saya ke sini, saya mempunyai “cyber cafe” sendiri dan telah lama terdedah dengan penggunaan teknologi internet. Walaupun tidak pernah menjadi “blogger” namun kemahiran sedia ada ini telah memudahkan saya untuk mengikuti arahan tanpa menghadapi sebarang masalah.

Dari segi pengajaran dan pembelajaran pula, ianya berjalan dengan lancar setiap minggu dan begitu juga dengan penulisan jurnal refleksi. Penulisan jurnal refleksi ini bermula pada minggu ke-2 dan selepas minggu ke-7, jurnal refleksi lebih kepada kritikan dan cara penambahbaikan terhadap pembentangan kumpulan yang dilakukan dalam kelas. Pada permulaan penulisan jurnal refleksi ini, saya agak kelam kabut kerana membuat sering membuat kerja “last minute” tetapi ianya hanya berlaku pada 3 minggu pertama. Kini penulisan jurnal refleksi dan kritikan telah berjalan dengan lancar tanpa menghadapi sebarang masalah.

Tepat pada waktunya En.Amran memperkenalkan kaedah pengajaran seperti ini kerana dengan kemudahan teknologi yang serba canggih ketika ini, pengajaran yang melibatkan internet bukanlah sesuatu yang mustahil. Malah kaedah ini telah lama diperkenalkan di negara-negara barat dan banyak kajian yang menyatakan bahawa penggunaan internet dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan salah satu cara yang efektif untuk menyampaikan pelajaran. Dengan kaedah ini juga, kandungan kursus SMP2252 telah disampaikan dengan lebih kemas, teratur dan sistematik. Jika dilihat pada Rancangan Instruksional (RI) bagi subjek ini, kandungan kursusnya agak banyak dan padat kerana meliputi segala aspek yang penting dalam Muzik Tradisional Malaysia tetapi dengan penggunaan kaedah yang diperkenalkan oleh pensyarah, pengajaran dan pembelajaran dapat disampaikan dan difahami dengan mudah.

Dari segi kemahiran berfikir, secara jujurnya saya mengakui bahawa kaedah pengajaran yang melibatkan teknologi internet sangat membantu dalam meningkatkan kemahiran berfikir pelajar. Kaedah ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran berfikir tetapi juga membantu mengembangkan pemikiran pelajar sehingga mencapai tahap kemahiran berfikir yang tinggi yang mana perlu dikuasai oleh pelajar khususnya bakal pendidik. Soalan yang dikemukakan pada setiap minggu sangat membantu pelajar dalam mencapai tahap kemahiran berfikir yang tinggi.
Selain itu, kaedah pengajaran secara kolaboratif juga sangat penting dan memudahkan pelajar memahami isi pelajaran yang disampaikan. Kaedah ini juga membantu pelajar meningkatkan kemahiran komunikasi kerana sesi pengajaran dan pembelajaran berlaku secara dua hala. Dengan ini, kemahiran interaksi sosial juga dapat dipupuk dalam kalangan pelajar. 

Pembentangan kumpulan juga sangat membantu dalam memahami sesuatu tajuk dengan lebih terperinci. Kajian lapangan yang dibuat oleh rakan-rakan berjaya menarik minat pelajar untuk mengetahui tajuk itu dengan lebih mendalam. Tunjuk cara yang dibuat oleh ahli-ahli kumpulan juga berjaya menarik minat pelajar. Gambar-gambar dan video yang dipaparkan oleh sesebuah kumpulan mengenai kerja lapangan mereka menjadi bukti bahawa adanya pembelajaran yang aktif antara pelajar.

Kesimpulannya, subjek ini sangat menarik ditambahkan lagi dengan penggunaan kemudahan internet dalam pengajaran dan pembelajaran memudahkan pelajar memahami isi pelajaran yang disampaikan. Walaupun di peringkat sekolah kemudahan internet masih lagi terhad dan baru di tahap permulaan, namun di IPTA dan IPTS penggunaan internet telah meluas dan perlaksanaan kaedah ini bukanlah suatu kejutan budaya bagi pelajar. Sebagai seorang bakal pendidik, saya sangat bersyukur kerana berpeluang mempelajari kaedah penggunaan internet dalam pengajaran dan pembelajaran. Hal ini demikian kerana persekitaran sekolah dijangka akan menggunakan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran pada masa akan datang. Oleh itu, guru-guru haruslah menguasai kemahiran seperti ini sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran dalam pengajaran pada masa akan datang. Diharapkan kaedah pengajaran yang melibatkan teknologi maklumat dapat membawa pendidikan di Malayia ke arah pencapaian yang lebih cemerlang. 



TARIAN SINGA



Video 1: Tarian Singa


Tarian singa merupakan satu adat warisan tradisional masyarakat Cina yang mana penari akan meniru pergerakan singa dengan menggunakan kostum singa. Kostum singa itu dimainkan oleh dua penari iaitu seorang memainkan di bahagian hadapan dengan menggerakkan kepala kostum, manakala pasangan penari akan memainkan bahagian belakang kostum singa tersebut. Tarian ini akan diiringi oleh gong, dram dan dentuman mercun yang dikatakan akan membawa tuah.

Tarian singa ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri iaitu dianggap sebagai pelindung dalam kebanyakan adat orang Asia, terutamanya bagi mereka yang berketurunan Cina. Setiap negara-negara di Asia mempunyai corak dan bentuk tarian singa yang berbeza. Tarian singa ini dipercayai bermula lebih 1000 tahun lalu. Terdapat dua tarian singa yang popular iaitu Tarian Singa Utara dan Tarian Singa Selatan.

Di Malaysia, tarian singa bermula pada abad ke-19 oleh penghijrahan masyarakat Cina dari negara China dan lazimnya dipersembahkan ketika perayaan Tahun Baru Cina serta merupakan persembahan yang penuh bertenaga dan menghiburkan.

Tarian Singa Selatan lebih membawa perlambangan alam sekitar dan selalu dipersembahkan sebagai istiada upacara membuang semangat jahat dan upacara meminta tuah. Dari segi cerita pula, tarian singa selatan membawa cerita 3 wilayah (Three Kingdoms). Tarian Singa Utara pula digunakan sebagai hiburan diraja. Tarian ini lebih bersifat pementasan akrobatik kerana tujuannya sebagai hiburan.

ALAT MUZIK




Gambar 1: Luo (gong)

Mempunyai permukaan yang rata dan leper dipukul dengan kayu pemukul. Alat ini digantung dan pemain akan meletakkan satu tangan di bahagian belakang untuk mengawal bunyi yang dihasilkan semasa bermain.

Untuk mempelajari tentang alat muzik ini dengan lebih terperinci, anda bolehlah melawati laman ini LUO (gong).
Gambar 2: Bo

Merupakan simbal yang diperbuat daripada gangsa. Alat ini dipegang dan dipukul bersama oleh pemain.

Gambar 3: Gu

Alat ini merupakan gendang besar yang berbentuk tong dan hanya mempunyai 1 permukaan kulit pada bahagian atas yang dipakukan pada badan kayu dengan paku besi. Di dalam dram tersebut terdapat beberapa dawai yang memberikan warna ton yang berlainan.

Muzik tarian singa dibahagikan kepada 5 bahagian mengikut gerakan singa.
  • Kemunculan singa - titiran
  • Singa menyembah - titiran
  • Singa berjalan - irama bertitik
  • Singa menjumpai makanan - titiran
  • Ulang 1 dan 3

Sekian...
Teruskan Membaca...

Saturday, October 23, 2010

MINGGU 12: JURNAL REFLEKSI


Selamat sejahtera, salam perpaduan dan salam 1 Malaysia...

Bertemu lagi dalam penulisan jurnal refleksi pada minggu ini. Minggu ini merupakan minggu yang agak sibuk bagi saya dan mungkin juga rakan-rakan yang lain. Hal ini demikian kerana saya perlu bersedia untuk Final Perfomance Instrumental Ensemble III, kelas, tugasan, dan yang paling penting sekali ialah persediaan pembentangan kertas kerja "Pendidikan Keselamatan Jalan Raya" yang telah dibentangkan dengan jayanya di hadapan Naib Canselor semalam (Sabtu). Saya bersyukur kerana penat lelah kumpulan kami semasa bertugas dan membuat kerja lapangan berbaloi apabila mendapat tempat pertama dalam pertandingan pembentangan kertas kerja tersebut. 


Berbalik kepada subjek Malaysian Traditional Music, tajuk kuliah pada minggu ini ialah Gendang 24 Musim. Pada awal kuliah, kami telah disajikan dengan tanyangan video yang memaparkan persembahan gendang 24 musim.





GENDANG 24 MUSIM




Video 1: Persembahan Gendang 24 Musim


Gendang 24 musim ini adalah diasaskan oleh seorang guru muzik Encik Chen Wei Chong pada Jun 1988. Peralatan yang digunakan ketika itu adalah diimport atau dibeli dari negara China dan persembahan ini adalah berasaskan satu musim pertanian di negara China. Hal ini boleh dilihat dengan penulisan nama musim tersebut pada gendang dengan kaligrafi Cina.
 
Setiap pemain gendang ini akan memakai kostum tradisional lelaki Cina dan menggunakan prop lain seperti topeng, bendera berwarna warni dan kain panjang berwarna. Alat yang digunakan dalam persembahan ini ialah 24 buah gendang Shigu yang juga digunakan sebagai dram tarian singa seperti yang selalu kita lihat terutamanya ketika perayaan Tahun Baru Cina. Namun begitu, ada juga yang menggunakan gendang Longgu. Kedua-dua gendang ini hampir sama dan merupakan gendang besar berbentuk tong. Permukaan gendang ini selalunya menggunakan kulit kerbau atau lembu yang dipaku pada bahan kayu dengan paku besi.


Gambar 1 : Shigu


 Gambar 2 : Longgu

Dalam persembahan ini, terdapat konsep-konsep JIE QI yang tertentu. Di Malaysia, idea persembahan ini dicetuskan oleh En. Tan Chai Pan iaitu seorang penyajak dan budayawan Cina tempatan. Pada ketika itu, persembahan hanya melibatkan 9 biji gendang yang berasaskan konsep 24 JIE QI (musim) mengikut kalendar tani di negara China.
 
Persembahan ini mendapat respon dari En. Tan Hooi Soong. Beliau menggunakan pukulan gendang shigu dengan iringan koreografi badan yang canggih dan menakjubkan telah menghasilkan persembahan yang gagah dan gemuruh. Dari sinilah lahirnya persembahan seni baru ciptaan tulen orang Cina di Malaysia.

Sekian sahaja buat kali ini.... bertemu lagi di minggu hadapan....!~
Teruskan Membaca...

Wednesday, October 6, 2010

MINGGU 11: JURNAL REFLEKSI


Selamat sejahtera, salam perpaduan dan salam 1 Malaysia....

Pejam celik pejam celik, sedar-sedar sudah minggu ke-11 saya menulis jurnal refleksi dan kritikan untuk subjek SMP 2252. Sedar tak sedar, penulisan seperti ini sudah menjadi sebahagian daripada rutin mingguan saya walaupun kadang-kadang menulis pada saat-saat terakhir. Mungkin kerana kerja yang semakin bertambah dan banyak yang perlu dihantar dengan segera, maklumlah kebanyakan kerja atau tugasan perlu dihantar pada minggu-minggu akhir kuliah. 


Berbalik kepada pembentangan pada minggu ini, pembentangan pada minggu ini adalah bertajuk Wayang Kulit. Pada minggu ini, sebelum saya memasuki kelas saya berasa sangat aneh. Kelas Muzik Tradisional Malaysia tidak seperti selalu. Saya berkata demikian kerana dari luar saya melihat kelas dalam keadaan gelap dan hanya cahaya lampu samar-samar meneranginya. Sementara saya menanggalkan kasut, dalam hati saya tertanya-tanya apakah sebenarnya yang sedang berlaku. Masuk sahaja dalam kelas, saya terkejut dan teruja melihat beberapa junior sedang membuat persiapan untuk membuat persembahan Wayang Kulit. Wow! Hebat sungguh pembentangan pada hari ini, dalam hati saya berkata. 




WAYANG KULIT


Gambar 1 : Wayang Kulit Kelantan


Sesi pembentangan kumpulan pada minggu ini dimulakan dengan persembahan Wayang Kulit Kelantan yang dipersembahkan oleh junior Pendidikan Muzik. Persembahan mereka sangat menarik dan walaupun saya kurang memahami bahasa yang digunakan tetapi boleh difahami secara keseluruhannya. Apa yang sangat menarik perhatian saya ialah unsur-unsur komedi yang diterapkan dalam penceritaan Wayang Kulit tersebut. 


Walau bagaimanapun, kadang-kadang saya tertawa bukan kerana isi dialog antara karakter-karakter yang ada tetapi saya geli hati mendengar loghat dan cara Tok Dalang menuturkan dialog tersebut mengikut karakter. Hari ini barulah saya sedar bahawa inilah keistimewaan Wayang Kulit yang membawa kepada perbezaan dengan seni warisan tradisional yang lain. 


Video 1 : Wayang Kulit Kelantan

 
Secara keseluruhannya, pembentangan kumpulan ini sangat menarik dan memuaskan. Penjelasan dan jawapan kepada soalan yang diajukan semuanya berdasarkan kepada fakta atau hasil kajian lapangan kumpulan pembentang. Mungkin jika masa dipanjangkan, kumpulan pembentang boleh menerangkan tajuk ini dengan lebih terperinci dengan sokongan video-video dan gambar-gambar yang diambil semasa menjalankan kerja lapangan. Dengan cara ini, para pelajar akan lebih berminat untuk mendalami Wayang Kulit suatu hari nanti. Sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada kumpulan ini kerana berjaya membuat pembentangan yang begitu menarik sekali. Sekian...
Teruskan Membaca...

Monday, October 4, 2010

MINGGU 10 : JURNAL REFLEKSI

Selamat sejahtera, salam perpaduan dan salam 1 Malaysia...

Selamat membaca jurnal refleksi saya untuk minggu yang ke-10. Pada minggu ini saya berasa sedikit lega kerana telah selesai membuat pembentangan tajuk Orkestra Cina Moden. Kini saya berdebar-debar menunggu komen atau reaksi rakan-rakan terhadap pembentangan kami. Selain kumpulan kami, terdapat 1 lagi kumpulan yang membuat pembentangan. Mereka telah membentangkan tajuk Nobat.



NOBAT


Gambar 1 : Nobat

Pada minggu ini, pembentangan oleh kumpulan Nobat sangat menarik terutamanya dengan  pengenalan yang jelas daripada saudari Liew Siaw Wei. Sebelum ini, saya tidak mengetahui apakah itu ensembel Nobat, tetapi pada kelas ini segala persoalan tentang ensembel ini telah terungkai. 


Selepas pembentangan tajuk ini, baru saya tahu bahawa ensembel ini tidak boleh dimainkan oleh semua orang. Hanya orang-orang tertentu sahaja yang boleh memainkan alat-alat muzik dalam ensembel ini. Sebelum ini, saya tidak pernah terfikir bahawa ada ensembel di Malaysia yang tidak boleh dimainkan oleh semua orang. Itulah uniknya Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian adat resam dan budaya.


Terdapat banyak keistimewaan Nobat yang kita sukar untuk ketahui tanpa mengkajinya terlebih dahulu. Saya sangat tertarik dengan pantang larang dalam ensembel Nobat. Contohnya, alat muzik Nobat tidak boleh disentuh oleh sesiapa kecuali pemuzik Nobat itu sendiri. Selain itu, pernyataan tentang gendang Nahara juga sangat menarik perhatian saya di mana permukaan bawah gendang ini dipercayai diperbuat daripada kulit perut perempuan mengandung.




Gambar 2 : Gendang Nahara



Video 1 : Permainan Nobat

Secara keseluruhannya, pembentangan pada minggu ini sangat baik dan jelas. Banyak input yang saya dapat daripada pembentangan yang dijalankan. Input-input seperti ini sangat berguna lebih-lebih lagi kepada mereka yang bergelar bakal pendidik Pendidikan Muzik. Diharapkan agar lebih banyak kajian akan dilakukan oleh pelajar tentang ensembel muzik ini pada masa akan datang bagi mengelakkannya dari terus hilang ditelan dek zaman.

Sekian....
Teruskan Membaca...

Wednesday, September 22, 2010

MINGGU 9 : JURNAL REFLEKSI

Selamat sejahtera, salam perpaduan dan salam 1 Malaysia...

Sedar tak sedar kini sudah masuk minggu ke-9 penulisan jurnal refleksi ini dilakukan. Secara keseluruhannya, terdapat peningkatan sedikit demi sedikit dalam gaya penulisan jurnal dan kini penulisan jurnal mahupun menjawab soalan setiap minggu telah berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Memang benarlah kata pensyarah kami iaitu En. Amran Aris bahawa masalah hanya dihadapi pada awal pengenalan sistem pembelajaran ini berlaku. Sebagai pelajar, kami benar-benar beruntung kerana selain dapat mempelajari muzik tradisional di Malaysia, dalam masa yang sama kami juga dapat mempelajari sedikit sebanyak tentang penulisan blog. Ini merupakan satu kelebihan kepada pelajar yang mengikuti kursus ini. Diharapkan agar cara pembelajaran seperti ini diteruskan dan dapat digunakan dalam subjek-subjek yang lain.

Nampaknya saya telah berhujah panjang lebar tentang penulisan blog ini. Sebelum memulakan refleksi atau kritikan saya pada minggu ini, rasanya belum terlambat lagi untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada pensyarah dan rakan-rakan saya. Pada minggu ini, kami telah mempelajari satu lagi tajuk iaitu Mak Yong. Walaupun tajuk ini telah diajar dalam kuliah sebelum ini namun pembentangan kali ini lebih terperinci.

MAK YONG

Gambar 1 : Mak Yong


Pada pendapat saya, pembentangan pada minggu ini sangat menarik dan mungkin merupakan pembentangan yang terbaik setakat ini. Saya berkata demikian kerana pada minggu ini, pelajar telah berpeluang melihat ensembel muzik yang mengiringi Wayang Kulit dan Mak Yong yang dikendalikan oleh Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan sendiri dengan bantuan staff. Peluang seperti ini jarang kita dapat dan saya berasa teruja melihat permainan muzik ini dilakukan di depan mata sendiri. 

Berbalik kepada pembentangan pada minggu ini, walaupun bermula sedikit lewat namun pembentangan kali ini tetap mendapat perhatian yang sepenuhnya daripada pelajar. Kumpulan pembentang memulakan pembentangan dengan belajar tarian yang wajib ada dalam persembahan Mak Yong iaitu 'menghadap rebab'. Pelajar telah diajar menari tarian ini dengan bantuan video hasil kerja lapangan kumpulan pembentang. Sesi ini sangat menarik kerana pelajar dapat merasakan sendiri kesusahan yang dihadapi oleh penari-penari Mak Yong dan bukanlah mudah seperti yang disangka. Tarian ini memerlukan tahap kesabaran yang tinggi dan tidak semua orang dapat melakukannya.


Video 1 : Persembahan Mak Yong

Secara keseluruhannya, pembentangan ini sangat berjaya kerana walaupun tajuk ini telah dipelajari dalam kuliah sebelum ini namun banyak input baru yang pelajar dapat. Contohnya dari segi sejarah Mak Yong di mana terdapat pelbagai pendapat lain yang menyatakan asal-usul dramatari ini

Dari segi penambahbaikan, pada pendapat saya mungkin pembentangan akan lebih menarik jika pembentang dapat menunjukkan video persembahan Mak Yong sebagai bahan tambahan untuk menarik perhatian pelajar. Mungkin pembentang mempunyai banyak video persembahan Mak Yong tetapi kerana masa yang terhad maka mereka tidak sempat menunjukkan video berkenaan. Namun secara keseluruhannya pembentangan ini sangat baik dan tahniah saya ucapkan kepada pembentang dan tidak lupa juga kepada En. Amran yang banyak membimbing pelajar dalam pembentangan masing-masing. Sekian...
Teruskan Membaca...

Tuesday, September 14, 2010

MINGGU 8: JURNAL REFLEKSI

Selamat sejahtera, salam perpaduan dan salam 1 Malaysia...

Sebelum memulakan bicara, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua kawan-kawan dan pensyarah. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada kumpulan yang telah berjaya membuat pembentangan mengikut tajuk yang diberikan. Pada minggu sebelum cuti raya bermula, hanya 1 kumpulan yang sempat membuat pembentangan kerana masa tidak mengizinkan. Mereka yang membentang ini telah membentangkan tajuk Menora. Apakah itu Menora?

MENORA

Gambar 1 : Tarian Menora
 
Tarian Menora hanya dapat dilihat di Kelantan. Drama tari ini dipercayai telah dibangunkan di Thailand sekitar 2,000 tahun yang lalu dan diperkenalkan di Kelantan pada pertengahan abad ke-19. Drama tari ini menggambarkan cerita Buddha Jaataka dan menonjolkan sifat Thailand tetapi telah mengalami penyesuaian budaya di Malaysia. 

Tarian ini dipersembahkan oleh lelaki yang dianggap sebagai perempuan. Penceritaan drama tari ini berasal dari cerita rakyat kuno yang dipersembahkan melalui gerakan kaki, lengan dan jari. Muzik pengiring bagi tarian ini termasuklah geduk, canai, pi nai, sepasang gedombak, cerek dan kesi.



Video 1 : Menora

Secara keseluruhannya, pembentangan kumpulan ini sangat memuaskan. Semua fakta yang diberikan dapat difahami dengan mudah. Banyak input yang boleh didapati dalam pembentangan ini. Saya berharap agar dapat mempelajari tajuk ini dengan lebih mendalam lagi pada masa akan datang. Sekian...
Teruskan Membaca...

Monday, August 30, 2010

MINGGU 7: JURNAL REFLEKSI


Selamat sejahtera, salam perpaduan dan salam 1 Malaysia...

Sebelum memulakan jurnal refleksi saya pada minggu ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua kumpulan yang telah berjaya membuat pembentangan. Pada minggu ini, pembentangan lebih kepada tajuk Keroncong dan Kuda Kepang. Pembentangan yang dilakukan oleh rakan-rakan saya sangat menarik. Tidak hairanlah pembentangan ini mendapat interaksi 2 hala di dalam kelas. Perkara ini membuatkan saya lebih bersemangat mengikuti pembelajaran yang dibentangkan mungkin kerana cara penyampaian rakan-rakan saya sangat menarik dan tidak membosankan.



KERONCONG

Gambar 1 : Ensembel Keroncong
 
Keroncong merupakan satu ensembel muzik yang tidak asing lagi bagi masyarakat Melayu khususnya di Semenanjung Malaysia. Ada pendapat yang mengatakan bahawa muzik keroncong berasal dari Portugis. Ini kerana muzik ini mempunyai persamaan dari segi alat muzik dan cara dipersembahkan dengan satu seni muzik di Portugal namun pendapat ini tidak mudah diterima.

Muzik Keroncong mempunyai banyak persamaan dengan Muzik Gamelan yang juga merupakan satu ensembel muzik yang popular di Jawa. Persamaan ini boleh dilihat dari segi rentak hinggalah ke melodinya. Muzik Keroncong telah mengalami evolusi alat muzik pada suatu ketika dahulu sehinggalah pada masa kini alat muzik tersebut telah dikekalkan. Alat muzik Keroncong terbahagi kepada 7 jenis alat iaitu Biola, Seruling, Gitar, Ukulele, Tenor Banjo, Cello dan Double Bass. 

Gambar 2 : Biola (Violin)

Gambar 3 : Seruling (Flute)

Gambar 4 : Gitar

Gambar 5 : Ukulele (Cuk)

Gambar 6 : Tenor Banjo (Cak)

Gambar 7 : Cello

Gambar 8 : Double Bass

Jika dilihat alat-alat yang tersebut di atas merupakan alat-alat muzik yang berasal dari Eropah dan kesemua alat muzik ini mempunyai peranan masing-masing dalam ensembel Keroncong. 

Pada umumnya, Muzik Keroncong terbahagi kepada 4 jenis iaitu:-

  1. Keroncong Asli
  2. Keroncong Langgam
  3. Stambul
  4. Keroncong Ekstra
Kesemua jenis Muzik Keroncong ini masing-masing mempunyai perbezaan dan persamaannya. 
 
Kumpulan yang membentangkan tajuk ini sangat baik dan memuaskan secara keseluruhannya. Mereka juga bernasib baik kerana Fakulti Muzik dan Seni Persembahan mempunyai satu Ensembel Keroncong yang sangat baik malah jika saya tidak silap, Ensembel Keroncong UPSI pernah memenangi pertandingan Muzik Keroncong MAKUM sebagai johan tidak lama dulu. Dengan ini, kumpulan yang membentangkan tajuk ini tidak perlulah bersusah payah pergi ke luar untuk membuat kajian lapangan ini. 
 
Pada pandangan saya, perkembangan Muzik Keroncong kini semakin memberangsangkan. Selepas mengalami evolusi alat muzik keroncong suatu ketika dahulu, Muzik Keroncong kini semakin bergiat dengan wujudnya beberapa jenis-jenis keroncong yang baru terutamanya di Indonesia. Hal ini dapat dilihat dengan wujudnya jenis keroncong seperti Keroncong Beat, Campur Sari, Keroncong Dangdut (Congdut) dan banyak lagi. Walaupun Muzik Keroncong pada masa kini belum menjadi sebahagian dari industri muzik pop namun terdapat beberapa pihak yang masih mengapresiasikan muzik ini. 
 
Mungkin pembentangan ini akan lebih menarik jika diselitkan dengan maklumat tentang fungsi-fungsi Muzik Keroncong pada masa dahulu dan pada masa kini. Ini kerana, melalui pembacaan saya Muzik Keroncong mempunyai beberapa fungsi yang menarik termasuklah sebagai pendidikan, hiburan, ekonomi, sosial dan sebagainya.



 KUDA KEPANG


Gambar 9 : Kuda Kepang

Persembahan Kuda Kepang sangat popular di Semenanjung Malaysia terutamanya di Negeri Johor. Ini kerana seni ini dikatakan berasal dari Jawa dan seperti yang kita sedia maklum bahawa Negeri Johor mempunyai ramai penduduk yang berbangsa Jawa. Kuda Kepang merupakan tarian pahlawan berkuda yang juga dikenali sebagai Jaran Kepang, Kuda Lumping, Jathilan dan Ebeg. Kuda Kepang diperbuat daripada buluh atau pandan yang dianyam namun ada juga yang diperbuat daripada papan lapis atau kulit lembu. Sebelum berlakunya perkembangan Islam, seni tradisional ini dimainkan dalam upacara pemujaan.

Dalam seni persembahan Kuda Kepang, terdapat beberapa alat muzik yang digunakan. Antaranya ialah Gendang Jawa, Gong, Jidur, Kenong Kuda Kepang, Saron Pekin, Angklung dan Bonang.

 
Gambar 10 : Alat Muzik Kuda Kepang

Muzik memainkan peranan yang sangat penting dalam pertunjukan Kuda Kepang. Semua alat-alat muzik di atas ini mempunyai ciri-ciri dan peranan masing-masing. 

Kuda Kepang juga mempunyai pakaiannya yang tersendiri. Pada umumnya, pemain Kuda Kepang akan memakai pakaian tradisional Jawa kuno yang lengkap memakai Ketopang atau Tanjak dan Kain Samping. Seluar pemain pula dijahit dengan menggunakan Kain Kempun iaitu sejenis Batik Jawa. Selain itu, pemain juga akan memakai Tengkolok. Tengkolok terbahagi kepada dua iaitu Tanjak Jawa dan Tanjak Melayu. Kedua-dua tengkolok ini dibezakan melalui cara mengikatnya. 

Kuda Kepang mempunyai cara dan fungsi yang tersendiri dalam persembahannya. Kuda Kepang dipersembahkan di tempat yang terbuka atau di atas pentas yang besar. Ini kerana persembahan ini memerlukan banyak ruang. Persembahan ini juga dimulakan dengan beberapa upacara tradisional seperti membakar kemenyan dan membaca jampi yang dikatakan berfungsi untuk memberi tenaga kepada kuda-kuda. Persembahan Kuda Kepang bergerak mengikut pola yang ditentukan oleh rentak dan irama lagu yang dimainkan. Semakin laju rentak muzik iringan, semakin lajulah kuda itu bergerak.

Dalam persembahan Kuda Kepang memerlukan sekurang-kurangnya 25 orang iaitu 9 orang penari, 5 orang pemain muzik, 2 orang bertindak sebagai 'bomoh pemulih' dan 9 orang penjaga kawasan. Dari segi fungsi pula, pada masa kini persembahan Kuda Kepang lebih kepada hiburan dan biasanya akan dipersembahkan di majlis-majlis keramaian bagi memeriahkan lagi suasana. 

Kuda Kepang juga mempunyai pantang larang yang perlu diikuti. Pantang larang ini termasuklah pantang larang sebelum memulakan tarian, pantang larang pemain alat muzik, pantang larang penari Kuda Kepang, pantang larang Kuda Kepang itu sendiri dan pantang larang penonton.

Kerja lapangan yang dilakukan oleh kumpulan pembentang di Negeri Johor telah sedikit sebanyak menambahkan pengetahuan kita mengenai Kuda Kepang. Walaupun begitu, orang yang ditemubual tidak banyak menceritakan keaslian Kuda Kepang. Mungkin beliau khuatir maklumat yang diberikan bercanggah dengan ajaran agama Islam khususnya yang telah menyebabkan seni tradisional ini telah diharamkan.

Walau bagaimanapun, saya sangat berpuas hati dengan pembentangan yang dilakukan oleh kumpulan ini. Mereka bukan sahaja bersusah payah ke Negeri Johor untuk membuat kerja lapangan ini tetapi juga mempunyai kerjasama ahli kumpulan yang baik. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa pembentangan ini sangat baik secara keseluruhannya. 

Pada pendapat saya, seni tradisional Kuda Kepang ini harus diteruskan dan tidak seharusnya diharamkan. Ini kerana, kita boleh mempersembahkan seni tradisional ini tanpa menggunakan jampi serapah yang dikatakan bertentangan dengan ajaran agama Islam khususnya. Biarlah kita kekalkan yang tidak bercanggah sahaja dan menganggap persembahan Kuda Kepang tidak lebih daripada satu bentuk hiburan tradisional yang unik.

Sekian dan terima kasih....
Teruskan Membaca...
 

Blog Pelajar Kumpulan A

  • JURNAL REFLEKSI KESELURUHAN - Assalammualaikum dan selamat sejahtera kepada semua. Setelah 14 minggu dalam tempoh kuliah, akhirnya kelas SMP2252 Muzik Tradisional Malaysia berakhir deng...
    6 years ago
  • HADIAH KEPADA KAWAN2 - Ditujukan khas kepada kawan SMP2252 YA.. Kualiti tak berapa bagus sebab kali pertama saya buat slideshow..hahah.. Semoga semua orang akan berjaya dalam pep...
    6 years ago
  • Jurnal Refleksi Minggu 14 - Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Kuliah pada minggu 14 ini adalah berkenaan dengan muzik tarian singa. Dalam tajuk ini beberapa perkara telah dibinca...
    6 years ago
  • minggu 14 : Jurnal Refleksi - Assalamualaikum dan salam muhibah semua... Pada minggu ini, pembentangan diteruskan dengan tajuk 'tarian singa'. Tarian singa ini adalah satu adat warisan...
    6 years ago
  • JURNAL REFLEKSI MINGGU 14 - Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua, tanpa kita sedari, telah 14 minggu kita semua bersama menelusuri ilmu berkaitan dengan muzik tradisiona...
    6 years ago
  • Jurnal Refleksi : Minggu 14 - Refleksi pada minggu ini merupakan refleksi minggu yang terakhir bagi kelas SMP 2252. Terdapat banyak perkara baru yang diperoleh selama 14 minggu menye...
    6 years ago
  • Minggu 14 : Jurnal Refleksi - Pada minggu ke 14 adalah minggu yang terakhir dalam kursus ini, banyak perkara yang kami perolehi setelah mengikuti kursus ini hingga ke akhir kursus ini. ...
    6 years ago
  • MINGGU 14:JURNAL REFLEKSI - Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua terutama pensyarah kita, En. Amran Aris. Pejam celik pejam celik, rupanya sudah sampai minggu ke-14 dan mi...
    6 years ago
  • MINGGU 14 :JURNAL REFLEKSI - Assalamualaikum kepada pensyarah dan kawan-kawan semua. Minggu ini merupakan mingg yang terakhir kita belajar berkenaan dengan muzik tradisional. pada ming...
    6 years ago
  • MINGGU 13:JURNAL REFLEKSI - Assalamualaikum. Setiap perjalanan hidup adalah pengalaman. Setiap pengalaman itu adalah pengetahuan. Setiap pengetahuan bermakna kepandaian dan setiap ke...
    6 years ago
  • MINGGU14: JURNAL REFLEKSI - Assalamualaikum dan salam sejahtera..... Sedar tak sedar, diam tak diam , akhirnya kita telah berada di minggu yang terakhir kuliah bagi semester 1 sesi 20...
    6 years ago
  • Reflesksi Keseluruhan - Sudah 14 minggu bersama dalam mengikuti kuliah muzik tradisional. Pelbagai reaksi dan gelagat melalui pembelaran kursus ini. Pembelajaran dalam kuliah-kuli...
    6 years ago
  • Minggu 11 : Jurnal Refleksi - Assalamualaikum.... Pada minggu ini, kumpulan yang terbabit membentangkan mengenai tajuk Ghazal. Pembentangan kali ini adalah untuk kali yang kedua buat kum...
    6 years ago
  • JURNAL REFLEKSI - Bunyi adalah penting dalam mencipta sesuatu irama di dalam muzik. Dengan menyusun bunyi yang betul maka akan terbinanya muzik itu. Bunyi yang terhasil ada...
    6 years ago

Blog Pelajar Kumpulan B

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 MARLIN Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template