Monday, August 23, 2010

MINGGU 6: JURNAL REFLEKSI



Selamat sejahtera, salam perpaduan dan salam 1 Malaysia...

Sebelum memulakan penulisan jurnal refleksi saya pada minggu ini, masih tidak terlambat lagi untuk saya mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa bagi yang muslim. Pada minggu ini, kami telah mempelajari serba sedikit tentang Makyung dan Kompang. Walau bagaimanapun, kami tidaklah mendalami tajuk ini dengan terperinci kerana selepas ini, terdapat pembentangan tentang tajuk ini yang akan dilakukan oleh rakan sekelas. Seperti biasa, kelas berjalan dengan lancar. Sebagai set induksi, En. Amran telah menunjukkan kami beberapa video Makyung, Mekmulung dan Menora. Selain menyediakan fikiran pelajar dengan tajuk yang akan diajar, kaedah ini juga digunakan untuk mengetahui pengetahuan sedia ada setiap pelajar.


MAKYUNG

Sejarah Makyung


Gambar 1 : Makyong

Makyung adalah dikategorikan dalam kategori drama tari atau seni lakon utama menurut Patricia Matusky. Makyung tidak jauh berbeza dengan Menora, Mekmulung dan Jikey. Perbezaan antara drama tari ini hanyalah dari segi penceritaan atau cerita. Makyung merupakan satu-satunya bentuk seni lakon yang diiktiraf oleh UNESCO. Seperti yang kita tahu, setiap persembahan muzik atau seni lakon tradisional mempunyai identiti masing-masing termasuk Makyung kerana berbeza dari yang lain iaitu menggunakan manusia sebagai pelakon dan bukannya patung seperti yang ada pada Wayang Kulit. Dialog, tarian, muzik vokal dan instrumental merupakan perkara yang sangat diutamakan dalam persembahan Makyung. 

Menurut Prof. Madya Dr. Mohd Ghouse Nasaruddin, Makyung berasal dari perkataan Makyang yang bermaksud semangat padi. Ini kerana masyarakat tradisional pada zaman dahulu menganut kepercayaan anamisme iaitu suatu kepercayaan yang percaya kepada kewujudan roh atau semangat pada setiap benda. Pada ketika itu, masyarakat hanya bergantung kepada aktiviti pertanian sebagai sumber utama makanan untuk terus hidup. Oleh kerana itulah wujudnya perayaan untuk memulihkan roh atau semangat padi yang dipanggil Makyang iaitu Makyung. Perayaan ini tersebar luas di Semenanjung Malaysia, Medan dan Kepulauan Riau-Lingga di Indonesia kira-kira 2oo tahun yang lalu. 

Persembahan Makyung dibawah naungan Sultan Mohamad ke IV. Kampung Temenggung di Kota Bahru merupakan tempat persembahan Makyung yang popular pada ketika itu. Persembahan ini dipertanggungjawabkan kepada Tengku Temenggung Ghaffar yang dipertanggungjawabkan dalam sistem latihan, muzik dan kostum yang diperhalusi secara sistematik. Persembahan Makyung bertukar dari Tradisi Istana kepada Tradisi Rakyat.



Video 1 : Makyung


Berdasarkan video di atas, kita dapat melihat bahawa semua watak utama dibawakan oleh wanita sahaja manakala watak peran atau kelakar diberikan kepada lelaki. Ini kerana pada zaman Kerajaan Melayu Lama, kebanyakan lelaki menjadi hulubalang dan pergi berperang untuk menjaga keamanan. Semasa pemergian mereka, istana menjadi suram maka pada ketika inilah Makyung wujud. Selain itu, ada pendapat yang mengatakan bahawa watak utama hanya diberikan kepada wanita kerana raja khuatir permaisuri akan terpikat dengan pelakon lelaki. Watak kelakar pula diberikan kepada lelaki kerana watak ini cuma watak peran dan muka pelakon akan diconteng. 

Tujuan persembahan Makyung terbahagi kepada dua iaitu sebagai ritual yang dipersembahkan melalui Main Puteri untuk tujuan menyembuhkan penyakit, persembahan sebagai sembah guru dan sebagai persembahan aras panggung sama dengan aras tanah iaitu persembahan Makyung berada di tengah-tengah penonton dan tanpa 'stage'. Tujuan persembahan Makyung yang kedua pula adalah sebagai persembahan semata-mata. 

Gambar 2 : Main Puteri

Makyung membawa cerita asal bertajuk Dewa Muda yang merupakan cerita rakyat. Cerita ini berubah-ubah. Terdapat kira-kira 11 buah cerita dan 30 buah lagu repertoire dan cerita disampaikan melalui dialog, nyanyian, tarian dan diiringi oleh muzik vokal dan instrumental. Watak-watak yang terdapat dalam persembahan Makyung ialah:- 

  • Pakyung dan Pakyung Muda (Watak utama)
  • Makyung dan Puteri Makyung (Raja perempuan)
  • Peran Tua dan Peran Muda (Pengasuh)
  • Tok Wak (Ahli nujum dan tukang)
 Gambar 3 : Watak Peran dalam Makyung


Terdapat 3 jenis lagu Makyung iaitu:- 

Mengadap Rebab
          
Merupakan lagu yang terpanjang yang mengiringi nyanyian dan tarian Pakyung. Lagu ini dinyanyikan sebagai simbol penghormatan kepada Rebab. Ini kerana pemain Rebab sangat penting dan dianggap sebagai guru atau pamurba lagu. Menurut artikel yang ditulis oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (2003), pemain rebab dikenali sebagai Tok Minduk. Namun menurut sesetengah orang yang telah lama berkecimpung dalam muzik tradisional ini seperti penulis lokanbertepuk.com menyatakan bahawa pemain rebab dikenali sebagai Jong Rebab dan bukannya Tok Minduk kerana menurut beliau, istilah Tok Minduk hanya terdapat dalam permainan peteri sahaja.


Video 2 : Mengadap Rebab


Kijang Mas

Merupakan lagu selepas Mengadap Rebab dan dinyanyikan oleh Kumpulan Korus dalam keadaan gembira. Selain itu, lagu ini dinyanyikan oleh Pakyung dan Makyung untuk menceritakan sesuatu pada Korus.

Lagu Sindung

Merupakan lagu yang dinyanyikan Pakyung apabila ingin memberikan arahan kepada peran.



Terdapat pelbagai jenis lagu yang dinyanyikan dalam persembahan Makyung. Antaranya ialah Menghadap Rebab, Lagu Ela, Mengulit Raja Nak Tidur, Jembar, Timang Welu atau Kijang Emas, Sedayung Pakyung dan banyak lagi. Semua lagu ini mempunyai mode yang tersendiri mengikut lagu. Contohnya lagu Mengulit Raja Nak Tidur yang membangkitkan perasaan halus.



Alat Muzik Makyung


Rebab


Gambar 4 : Alat Muzik Rebab

Rebab terdiri daripada sebatang kayu tebal tanpa fret (fretless) yang berfungsi sebagai leher. Bahagian bawah dipanggil 'kaki' dan bahagian atas dipanggil 'kecopong' yang bermotifkan pucuk rebung. 3 utas tali (logam) ditarik dari kekuda yang dipanggil 'pacat' terus ke 'pemulas' untuk tujuan talaan (tuning). Laras talaan ialah jeda perfek ke 4 dan perfek ke 5. Open string ditala mengikut jarak vokal penyanyi. Tali digesek menggunakan tali nilon/tangsi yang dahulunya menggunakan sabut kelapa. Alat muzik rebab dimainkan secara duduk bersila menghadap matahari. Ini kerana pada zaman dahulu, alat muzik ini dimainkan di luar 'outdoor'.

Gambar 5 : Anatomi Rebab


Form atau Bentuk

Bentuk dan struktur lagu-lagu Makyung ditentukan dalam sistem gongan (pusingan-jangka masa tertentu yang ditentukan dengan pic-pic gong). Bentuk ini dikawal oleh Tetawak dan menggunakan sistem gongan 8 bit, 16 bit dan 32 bit.

Irama

Gambar 6 : Bentuk dan Irama

Menggunakan 4 timbre (pak, duh, cak, ting) dalam gaya meningkah (interlocking). Hampir semua lagu Makyung bertempo agak perlahan.

Melodi

Gambar 7 : Melodi Makyung

Melodi dipersembahkan oleh seorang penyanyi dan alat muzik rebab. Dalam persembahan Makyung, melodi yang digunakan adalah berhias dan kompleks. Tekstur melodi ini adalah dalam tekstur Heterofoni.

Untuk mempelajari Makyung dengan lebih lanjut lagi, anda bolehlah mengunjungi laman di bawah ini.







KOMPANG



Video 3 : Kompang Fomasi


Pengenalan Kompang

Kompang berasal dari kebudayaan Arab di Asia Barat (Timur Tengah). Kompang juga dikenali sebagai Dufuf, Daff, Duff, Tar atau Bendir. Di Indonesia, kompang dipanggil Terbang atau Rebana. Alat muzik ini dibawa oleh Pedagang Arab pada kurun ke-13 Masihi. Kompang diklasifikasikan dalam klasifikasi membranofon dalam kelas dram kecil. Dalam masyarakat Melayu, kompang berfungsi sebagai alat untuk meraikan perkahwinan, Majlis Keraian Islam, Maulidulrasul dan berkhatan. Namun dalam masyarakat sosial kini kompang juga digunakan dalam menyambut ketibaan pemimpin dan acara rasmi.

Gambar 8 : Kompang

Sejarah Kompang

Terdapat dua pendapat yang menyatakan tentang sejarah Kompang. Pendapat yang pertama menyatakan bahawa bentuknya sama dengan Hadrah yang terdapat di negara Arab. Pendapat yang kedua pula menyatakan bahawa lirik lagu yang dimainkan selalunya dalam bahasa Arab, contohnya selawat memuji Rasulullah SAW.

Menurut Abdul Latif Ali (1980), permainan kompang dibawa oleh pedagang Arab yang datang berdagang ke Nusantara. Ia digunakan untuk menarik perhatian pembeli terhadap perniagaan mereka. Dipercayai permainan ini menjadi ikutan masyarakat tempatan dan seterusnya berkembang sehingga kini. Manakala permainan Kompang berkembang ke Tanah Melayu akibat imigrasi masyarakat Jawa.

Adab Permainan Kompang

Dalam permainan Kompang, pakaian amat dititikberatkan. Selain itu, pemain tidak boleh melentangkan dan melambung Kompang. Pemain juga tidak boleh meletakkan arah kulit muka Kompang ke lantai.

Alat Muzik Kompang

Gambar 9 : Bahagian Penting Kompang


Pembuatan Alat Muzik Kompang


Gambar 10 : Proses Membuat Kompang


Dalam pembuatan Kompang gred 'A', kulit kambing betina digunakan sebagai bahan utama.

Fungsi Kompang

Antara fungsi permainan kompang ialah:-
  1. Mengiringi aktiviti vokal seperti nyanyian solo atau kumpulan secara ensembel (nasyid, marhaban).
  2. Mengarak pengantin, kanak-kanak berkhatan, berkhatam Quran dan upacara rasmi yang melibatkan pembesar.
  3. Menjadi elemen permainan ensembel lain seperti orkestra, lagu etnik kreatif, cak lempong, cak lempong pacik dan gamelan.
  4. Untuk merangsang semangat pasukan yang bertanding, contohnya pasukan bola sepak bagi memeriahkan acara sukan serta membuat gimik sorakan.
  5. Pertandingan-paluan kompang dan kompang formasi.


Video 4 : Kompang Mengiringi Nyanyian



Video 5 : Kompang Mengarak Pengantin


Jenis Permainan Kompang
Permainan kompang terbahagi kepada beberapa jenis. Antara jenis-jenis kompang ialah:-
  1. Kompang Hadrah (Negeri Perak)
  2. Kompang Johor / Jawa
  3. Kompang Eizhar (Negeri Selangor)
  4. Kompang Kelalang (Negeri Melaka)
Kompang boleh diperolehi dalam saiz yang berbeza mengikut umur tertentu. Antara saiz kompang yang mengikut peringkat umur pemain adalah seperti berikut:-

Gambar 11 : Pelbagai Saiz Kompang
 
Teknik Permainan Kompang

Pegang kompang dengan sebelah tangan sementara sebelah tangan lagi memukulnya. Kompang boleh dimainkan secara duduk atau berdiri. Pada asasnya, kompang menghasilkan dua bunyi iaitu 'pak' dan bunyi 'bung'. Pukulan 'pak' mestilah lebih berat daripada bunyi 'bung'.
Bunyi 'pak' dihasilkan apabila bahagian tengah kompang dipalu dengan tapak tangan sambil jari tangan terbuka. Kekuatan bunyi adalah hasil daripada pukulan tapak jari. Untuk menghasilkan bunyi yang tepat, sentuh tapak ibu jari dan jari anak mendahului jari yang lain semasa memukul.

Bunyi 'bung' dihasilkan apabila bahagian tepi permukaan kompang iaitu 1/3 daripada permukaan dipukul dengan jari. Manakala kesemua jari berkeadaan tertutup semasa membuat pukulan.
 
 Gambar 12 : Kedudukan Kompang di Tapak Tangan


Gambar 13 : Teknik Bermain Kompang

Gambar 14 : Posisi Kompang Secara Berdiri Untuk Perarakan
Gambar 15 : Posisi Pemain Kompang


Jenis Pukulan / Paluan

Terdapat tiga jenis paluan digabungkan untuk menghasilkan paduan bunyi yang berharmoni. Tiga kumpulan paluan tersebut dipanggil Melalu, Meningkah dan Menyilang. Fungsi paluan ini adalah seperti berikut:-
  1. Kumpulan melalu memainkan rentak asas.
  2. Kumpulan menyilang memainkan rentak pilihan (up beat) kepada pukulan melalu.
  3. Kumpulan meningkah menjadi penghias rentak yang dimainkan paluan antara kumpulan melalu dan menyilang.
Setiap persembahan kompang terdiri daripada tiga bahagian pukulan iaitu pukulan 'mula' untuk memainkan sesebuah lagu, pukulan lagu dan pukulan 'mati' untuk mengakhiri sesebuah lagu.

Penjagaan Kompang

Kompang dalam simpanan seharusnya dikendurkan permukaannya. Sebelum memulakan permainan kompang, permukaannya perlu ditegangkan dengan sedak. Kompang yang basah seharusnya dijemur sehingga kering supaya tahan lebih lama.
Semasa dalam simpanan juga, kompang perlu diletakkan dengan berkeadaan muka kompang bertindan dengan permukaan lain dan disusun di rak atau almari yang sesuai. Ini untuk mengelakkan kerosakan muka kompang apabila ditindani oleh baluh kompang.

Penalaan Kompang
Penalaan kompang bertujuan untuk meninggikan ton bunyi kompang dan menegangkan permukaannya dengan menggunakan sedak. Sedak boleh dibuat daripada rotan atau wayar plastik. Sedak ditolak dengan kayu sedak di sekeliling bahagian dalam, di antara baluh dan belulang kompang.


Rentak Kompang


Video 6 : Rentak Inang



Video 7 : Rentak Masri



Video 8 : Rentak Asli


Untuk mempelajari tajuk ini dengan lebih lanjut, anda boleh melawati laman di bawah ini.

http://www.flixya.com 

http://smksrkelabkompang.blogspot.com 

Sekian....

2 comments:

SMP2252 SING YING on August 23, 2010 at 4:51 AM said...

Taniah lin...ulasan sangat bagus!!

.::Shue Zakaria::. on August 23, 2010 at 6:42 AM said...

Tahniah, refleksi anda memang yang terbaik...=)

Post a Comment

 

Blog Pelajar Kumpulan A

Blog Pelajar Kumpulan B

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 MARLIN Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template