Friday, July 30, 2010

MINGGU 3: JURNAL REFLEKSI


Selamat sejahtera, salam perpaduan dan salam 1 Malaysia...

Entri saya pada minggu ini merupakan jurnal refleksi bagi kuliah minggu ke-3 subjek Muzik Tradisional Malaysia. Seperti biasa, kuliah berjalan dengan lancar serta menarik walaupun pensyarah tidak dapat menunjukkan video yang memerlukan talian internet untuk membukanya. Walaupun begitu, En. Amran banyak menunjukkan video yang sedia ada dalam komputer riba beliau. Pembelajaran pada minggu ini lebih fokus kepada 3 tajuk iaitu kaedah klasifikasi, kategori dan ciri-ciri muzik tradisional Malaysia.

Penciptaan alat muzik diilhamkan melalui pemerhatian pada sumber alam dan menerusi eksploitasi bahan-bahan semulajadi seperti kulit haiwan, tumbuh-tumbuhan, tulang dan tanduk. Bermula hanya dengan bertepuk tangan, menghentak kaki, bersiul, mengetuk kayu dan sebagainya, alat muzik ini terus mengalami evolusi ke tahap yang lebih kompleks dan kompetetif. Pengaruh dan pertembungan budaya dari luar yang berlaku pada zaman-zaman perdagangan dan penjajahan banyak mempengaruhi alat muzik tempatan.

Berbilang asal usul telah melahirkan alat muzik tradisional yang pelbagai lantas melahirkan warisan seni muzik yang kaya dan kompleks. Meskipun bersempadan budaya masing-masing, namun ia berjaya membentuk identiti tersendiri dan menonjolkan ciri-ciri persamaan yang dapat dikongsi bersama oleh pelbagai kaum di negara ini.


PERSPEKTIF ADAPTASI DAN IDIOSINKRETIK


Adaptational (Penyesuaian)

Adaptational atau penyesuaian bermaksud seni muzik tradisional termasuk suara, mode muzik, pembuatan dan hiasan yang telah dipengaruhi serta disesuaikan dengan budaya setempat. Tindak balas juga mengikut keadaan ekologi. Contoh bentuk penyesuaian yang terdapat di Malaysia ialah Ghazal Pathi, Ghazal Johor dan banyak lagi. Di Arab pula Baladi Dance dan Ya Zuhur manakala di Indonesia ialah Orkes Gambus.


Video 1 : Ghazal Johor


Idiosyncratic (Idiosinkretik)

Idiosinkretik ialah cara atau gaya yang tersendiri dan sulit. Idiosinkretik lebih berfokus kepada alat muzik daripada luar yang diambil tanpa melakukan apa-apa perubahan dalam aspek mode muzik dan prinsip akustik yang merangkumi sistem talaan, pemasangan dan kedudukan posisi tali. Kestabilan unsur dan bentuk asal juga dikekalkan. Contoh idiosinkretik yang terdapat di Malaysia ialah Gambus atau Gambus Hadramaut yang berasal dari Timur Tengah yang dibawa ke dunia Melayu pada abad ke-14.


Gambar 1 : Gambus


Untuk mempelajari tajuk ini dengan lebih lanjut, anda bolehlah membaca artikel ini.
(Link)

Alat muzik merupakan suatu instrumen yang dibuat atau dimodifikasi untuk tujuan menghasilkan muzik. Dalam erti kata lain, segala sesuatu yang menghasilkan suara dan dengan cara tertentu boleh diatur oleh pemuzik, dikenali sebagai alat muzik. Walaupun demikian, istilah ini umumnya diperuntukkan bagi alat yang khusus ditujukan untuk muzik.


KLASIFIKASI ALAT MUZIK

Beberapa jenis klasifikasi telah digunakan bagi mengkelaskan alat-alat muzik berdasarkan ciri-ciri tertentu. Budaya muzik Cina, India dan Eropah mempunyai sistem penyusunan alat muzik yang tersendiri.


Cina

Dalam tamadun China purba, semua alat muzik dapat diklasifikasikan mengikut bahan utama yang digunakan dalam pembuatan alat muzik tersebut. Antara bahan tersebut termasuklah logam, batu, tanah, belulang, sutera, labu, buluh dan kayu.


Gambar 2 : Alat Muzik Yang Diperbuat Daripada Kayu

India

Tamadun India purba pula mengumpulkan alat muzik mengikut klasifikasi gong, simbal, gendang, alat bertali dan alat yang ditiup.

Gambar 3 : Alat Muzik Tradisional India

Barat

Alat muzik barat digunakan khusus sebagai alat muzik orkestra barat. Terdapat 4 klasifikasi alat iaitu percussions, strings, brass dan woodwind.

Gambar 4 : Alat Muzik Barat


Percussions atau perkusi ialah alat muzik yang dimainkan secara pukulan, paluan, ketukan atau goncangan. Antara alat muzik ini termasuklah timpani, pelbagai jenis drum, simbal, kerincing, tamborin dan lain-lain. Alat muzik berpic pula termasuklah zailofon, metalofon, glokenspil dan bellyre.

String atau alat muzik bertali digunakan untuk mengklasifikasikan semua jenis alat muzik bertali iaitu violin, viola, violoncello, double bass, harps dan lain-lain.

Brass ialah klasifikasi alat tiupan yang dibuat daripada logam. Contoh alat muzik brass ialah trumpet, trombon, french horn, tuba dan sausofon.

Woodwind ialah alat muzik tiupan yang pada masa dahulunya dibuat dari bahan kayu. Kebanyakan alat ini, menggunakan reed bagi menghasilkan bunyi. Reed diperbuat daripada buluh yang diraut nipis. Antara alat muzik woodwind ialah klarinet, saksofon, flut, pikolo, oboe dan basun. Pada masa kini, terdapat alat muzik woodwind yang dibuat daripada logam, plastik dan bahan gentian kaca.

Alat muzik barat juga diklasifikasikan dengan kaedah pengklasifikasian Sachs-Hornbostel seperti yang kita telah pelajari pada kuliah minggu ke-2.

(Ruj: http://tabuhemas.com/nota02_klasifikasi.html)


Muzik tradisional adalah muzik oleh sesuatu kaum. Ia bergantung pada budaya, adat dan penerimaan sesebuah bangsa. Setiap bangsa mempunyai ciri-ciri muzik yang tersendiri. Di Malaysia, kebanyakan peralatan muzik tradisional zaman dulu banyak dimainkan oleh golongan-golongan bangsawan sahaja. Namun dengan peredaran masa, rakyat biasa juga tidak ketinggalan menikmati alunan muzik tradisional ini.


KATEGORI DALAM MUZIK TRADISIONAL MALAYSIA

Ciri-ciri utama ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu tradisi besar yang merangkumi budaya klasik atau istana. Ciri yang kedua ialah tradisi kecil iaitu budaya rakyat itu sendiri.

Terdapat 4 kategori utama muzik. Antaranya ialah muzik rakyat, muzik klasik, muzik sinkretik dan muzik kontemporari.


Muzik Rakyat

Muzik rakyat diamalkan oleh masyarakat desa atau petani. Muzik seperti ini tidak mudah untuk berubah. Latihan juga adalah bersahaja dan selalunya menggunakan sistem abjad. Selain itu, muzik ini juga diperturunkan dengan menggunakan kaedah peniruan (rote method). Muzik ini merupakan cerminan nilai dasar dan kebudayaan kepada masyarakat Melayu tradisional contohnya Wayang Kulit, Kuda Kepang dan Zapin.


Video 2 : Zapin


Muzik Klasik

Muzik ini dimainkan di bandar atau istana. Muzik ini juga mempunyai asas sejarah dan teori yang agak kukuh di samping mempunyai transmisi intelek dan sistematik. Repertoire muzik ini adalah dalam bentuk Genre. Contoh muzik klasik ialah Gamelan, Nobat, Orkestra Karnatik dan banyak lagi.


Video 3 : Gamelan


Muzik Sinkretik

Muzik sinkretik diamalkan oleh budaya bandar dan desa. Muzik ini merupakan gabungan muzik rakyat dan klasik. Muzik sinkretik terdiri daripada muzik tarian dan muzik vokal di samping mempunyai sifat yang fleksibel. Contoh muzik sinkretik ialah Ghazal, Dondang Sayang dan Asli.


Video 4 : Dondang Sayang


Muzik Kontemporari

Muzik ini mempunyai ciri muzik barat dan digubah oleh pemuzik popular. Muzik ini berubah dalam jangka masa pendek dan mempunyai sistem notasi yang sistematik serta kebiasaannya dipinjam dari sumber luar.

Untuk mempelajari kategori utama dalam muzik tradisional Malaysia, anda bolehlah melawati laman ini. ( Link )

Seni muzik merupakan satu dari seni hasil luahan rasa manusia yang menggambarkan identiti dan perlambangan sikap sesuatu bangsa. Bangsa-bangsa di Malaysia turut mempunyai seni muzik mereka yang tersendiri dan unik berdasarkan keadaan negara Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan etnik. Terdapat 6 ciri-ciri utama muzik tradisional Malaysia. Antaranya ialah bentuk seni lakon utama, bentuk tarian utama, ensemble genderang, vokal dan instrumental solo, ensemble sosial popular dan ensemble lain.


CIRI-CIRI MUZIK TRADISIONAL MALAYSIA

Bentuk Seni Lakon Utama (Dramatari)

Bentuk seni lakon utama mempunyai ciri-ciri teater dan muzik wilayah. Selain itu, bentuk ini juga dikuasai oleh alat muzik perkusi (percussions) dan merupakan muzik kamar (chamber ensemble). Bentuk ini mengutamakan alat idiofon dan membranofon manakala alat aerofonn dan kordofon biasanya akan memainkan melodi. Contoh bentuk seni lakon utama ialah Mak Yung, Wayang Kulit, Mekmulung, Bangsawan, Randai dan Opera Cina.




Video 5 : Randai


Muzik Bentuk Tarian Utama

Bentuk ini merupakan tradisi muzik yang mengiringi tarian. Ianya terbahagi kepada dua iaitu tradisi kesenian tinggi dan tradisi kesenian rakyat. Tradisi kesenian tinggi memerlukan pemuzik dan penari terlatih contohnya Tarian Asyik, Joget Gamelan, Gamelan Jawa, Tarinai dan Zapin. Contoh tradisi kesenian rakyat ialah Ngajat, Datun Julud, Muzik Tarian Sumazau, Magarang dan Muzik Tarian Singa.



Video 6 : Tarian Sumazau


Muzik Ensembel Genderang

Muzik jenis ini adalah 'Stand Alone' atau mengiringi muzik bentuk tarian utama. Muzik ini juga mengiringi aktiviti kerja, upacara dan ritual tertentu atau seni mempertahankan diri. Contoh muzik ini ialah Kompang, Hadrah, Rodat, Dabus, Gendang Keling, Nobat, Caklempong, Huduk Apa, Bek Alu, Kesut, Tumbuk Kalang, Kertuk dan banyak lagi.



Video 7 : Kertuk


Muzik Vokal Dan Instrumental Solo

Muzik ini melibatkan seluruh aspek masyarakat dan merupakan muzik iringan semasa meraihkan anak yang baru lahir, sosiolisasi dan funeral. Muzik ini merupakan sastera lisan yang disebarkan melalui nyanyian, genealogi (salasillah) di kalangan kaum serta mempunyai daya kreatif dan kemahiran gaya hidup masyarakat.

Contoh vokal termasuklah Zikir, Lagu Menyambut Tetamu (Kayan), Pantun (Kenyah), Wa (Berbentuk cerita-Kaum Kajang), Kui (Kisah penanaman padi) dan Timang (Iban).

Contoh instrumental termasuklah Organ Mulut (Keluri, Sompoton, Seruling, Suling, Nabat) dan Ziter (Krem, Satong, Kecapi, Sapeh, Sundatang, Gagayan).

Gambar 5 : Sompoton


Muzik Ensembel Sosial Popular

Muzik ini lebih cenderung sebagai hiburan, keramaian dan majlis perayaan. Selain itu, muzik ini juga menghasilkan muzik sinkretik, mengiringi tarian ronggeng, nyanyian dalam keroncong dan ghazal, perbalasan pantun seperti dondang sayang dan dikir barat. Di samping itu, muzik ini merupakan cantuman unsur muzik tempatan dengan unsur muzik budaya luar. Contoh bentuk muzik ini termasuklah Ronggeng, Dondang Sayang, Keroncong, Dikir Barat dan Orkestra Cina Moden (Huanyue Tuan).



Video 8 : Dikir Barat


Muzik Bentuk Lain

Terdapat pelbagai genre muzik di Malaysia yang masih belum diselidik, didokumentasi dan dianalisi secara mendalam. Contoh muzik bentuk lain ialah Jiduran Berundai (Kedah), Barongan dan Bongai (Negeri Sembilan) dan bentuk seni lakon seperti Rodat, Hadrah, Ghazal, Tok Slampit, Awang Batil, Jubang Linggang, Kaba, Borio, Menora, Orkestra Klasik India, Muzik Masyarakat Portugis Melaka dan banyak lagi.

Untuk mempelajari tajuk ini dengan lebih lanjut, anda bolehlah melayari laman ini.
(Link), (Link)

Sebagai kesimpulan, negara kita amat jauh ketinggalan dari segi pemuliharaan dan pembangunan muzik tradisional jika dibandingkan dengan negara-negara lain seperti China, Mongolia dan Korea. Walaupun begitu, muzik tradisional perlu dipertahankan dalam apa cara sekalipun kerana muzik tradisional merupakan budaya yang tidak ternilai. Hilang budaya maka hilanglah bangsa.

Sekian dan terima kasih.

14 comments:

Muzik Tradisional Malaysia on July 31, 2010 at 9:23 AM said...

Refleksi disentuh secara holistik. Syabas!!

SMP2252 Hafzan on July 31, 2010 at 9:50 AM said...

Habis semua video kat youtube telah dikebas oleh marlin..

Teoh Koh Sing on July 31, 2010 at 9:08 PM said...

tahniah marlin.....refleksi yang begitu menarik dan video juga...hafzan...ada banyak video lagi bah kat youtube...haha..

CHRISTINE on August 1, 2010 at 11:37 PM said...

refleksi marlin patut dirujuk sebagai contoh...bersama-sama kita meminta ajar dengan marlin... hehe...sudikah marlin menerima kita sebagai anak murid??

Marlin on August 2, 2010 at 3:28 AM said...

Admin: Terima kasih.

Hafzan: Banyak lagi video di Youtube yang saya tidak sempat ambil. :)

Teoh Koh Sing: Terima kasih.

Christine: Saya hanya buat setakat yang saya mampu Christine. Saya juga pengguna baru blog malah refleksi minggu ke-2 saya mengalami sedikit masalah walaupun saya telah memperbaikinya. Saya bersedia untuk membantu setakat yang saya mampu. Do not hesitate to ask.. Thank You..

aniey_annatasia on August 2, 2010 at 5:45 AM said...

Marlin, posting awak sangat 'complete'. Tahniah!!

Marlin on August 2, 2010 at 6:01 AM said...

Terima kasih Ani..

Damiana on August 2, 2010 at 8:07 AM said...

Marlin, video-video yang menarik. Teruskan usaha anda =)

~cikshue~ on August 2, 2010 at 10:01 PM said...

Good posting Marlin..Tahniah..=)

~cikshue~ on August 3, 2010 at 3:18 AM said...

baru saya perasan, video ghazal kita sama Marlin...huhu

Marlin on August 3, 2010 at 7:48 AM said...

it's ok Shue..

deng panji on October 12, 2010 at 2:01 AM said...

thanx Marlin..... easy 4 me how to teach my student....

deng panji on October 12, 2010 at 2:03 AM said...

pls put more information about our traditional music...really appretiate !

Marlin Binti Kisil on October 15, 2010 at 9:06 AM said...

Terima kasih En.Hishamuddin. Saya dan rakan-rakan yang akan cuba sedaya upaya untuk memberi lebih banyak input lagi tentang muzik tradisional Malaysia dan diharapkan dapat memudahkan sedikit kerja guru-guru muzik di luar sana yang mungkin memerlukan bahan-bahan seperti ini.

Post a Comment

 

Blog Pelajar Kumpulan A

Blog Pelajar Kumpulan B

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 MARLIN Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template