Sunday, August 8, 2010

MINGGU 4: JURNAL REFLEKSI


Selamat sejahtera, salam perpaduan dan salam 1 Malaysia..

Entri saya pada minggu ini adalah merupakan refleksi kepada kuliah minggu ke-4 bagi subjek SMP2252 Malaysian Traditional Music. Saya berharap agar penulisan refleksi saya pada kali ini lebih menarik daripada refleksi yang telah dibuat pada minggu-minggu lepas. Hal ini penting untuk mencapai tahap pemikiran yang tinggi bagi pelajar sesuai dengan objektif pengenalan penulisan refleksi secara blog ini dibuat. Kelas bermula lewat 30 minit kerana pensyarah membahagikan tajuk-tajuk pembentangan kepada setiap kumpulan yang terdiri daripada 5 orang. Kumpulan kami telah memilih tajuk Orkestra Cina Moden. Saya berharap agar kami dapat memberikan yang terbaik untuk tajuk ini.

Selepas membahagikan tajuk pembentangan, En. Amran selaku pensyarah subjek ini telah memberikan satu 'tips' iaitu selepas memberikan tugasan atau kerja kepada pelajar, seseorang guru haruslah mengosongkan fikiran para pelajar agar dapat menyediakan fikiran mereka kepada pembelajaran yang akan diajar contohnya dengan menunjukkan video yang menarik. En. Amran telah menunjukkan beberapa video menarik yang berkaitan dengan bayang-bayang (shadow). Video ini sangat menarik kerana bayang-bayang yang ditunjukkan boleh menyerupai pelbagai bentuk yang lain.



Video 1 : Shadow


Berdasarkan video di atas, pada pandangan anda, dari manakah datangnya idea pembentukan bayang-bayang itu?

Video di atas sangat sesuai dengan pembelajaran pada minggu ini yang bertajuk Muzik Wayang Kulit. Sebelum ini, apabila mendengar sahaja 'wayang kulit' saya beranggapan bahawa wayang kulit merupakan satu pertunjukan tradisional yang membosankan. Malah saya juga membayangkan bahawa pertunjukan ini hampir sama seperti pertunjukan 'upacara Bambarayon' yang diadakan di Negeri Sabah pada setiap perayaan musim menuai. Upacara ini sangat kompleks dan sukar untuk difahami kerana menggunakan dialek atau bahasa KadazanDusun yang mendalam yang hanya boleh difahami oleh orang-orang tertentu. Namun selepas mengikuti kelas ini, ternyata anggapan saya jauh sama sekali. Pertunjukan wayang kulit bukanlah seperti yang saya fikirkan selama ini. Pembelajaran pada minggu ini lebih fokus kepada tiga perkara iaitu jenis wayang kulit, alat muzik wayang kulit dan perbezaan antara wayang kulit.



Sebelum menyentuh tentang jenis wayang kulit, adakah kita tahu apa itu wayang kulit? Wayang kulit ialah teater tradisional kuno Malaysia. Pertunjukan ini merupakan pengkisahan Dalang dan bayang-bayang patung di atas Kelir. Wayang kulit juga merupakan teater purba yang dimainkan oleh orkestra tertentu untuk mengiringi gerak geri wayang selain mempunyai pelbagai repertoire lagu mengikut kehendak cerita.

Wayang kulit juga mempunyai beberapa kompenen yang penting. Kompenen yang pertama ialah seni muzik. Seni muzik wayang kulit amat unik dan memerlukan keahlian khusus. Dalang dan panjaknya harus menghafal lebih dari 35 buah lagu contohnya lagu bertabuh yang terdapat dalam wayang kulit Kelantan. Kompenen yang kedua ialah hikayat. Dalang haruslah mahir dalam hikayat-hikayat. Contohnya dalam wayang kulit Kelantan, hikayat yang digunakan adalah hikayat tentang Ramayana tetapi dibuat dalam bentuk dialog Kelantan dan cerita orang Kelantan.

Kompenen yang ketiga ialah lakunan. Dalang harus pandai melakukan cerita supaya menarik dalam membawa suasana gembira, takut, sedih, kasih sayang dan sebagainya. Selepas kita melihat video pertunjukan wayang kulit nanti, kita akan tahu bagaimana dalang memainkan peranan dalam membawa cerita mengikut lokasi budaya. Epik yang digunakan ialah epik luar seperti Ramayana dan Mahabrata tetapi bagaimana dalang sesuaikan dalam budaya melayu Kelantan. Tetapi kebiasaannya hal ini diamalkan oleh masyarakat Pattani.

Kompenen wayang kulit yang seterusnya ialah pengetahuan agama. Setiap pertunjukan wayang kulit mempunyai pengajaran yang bercorak agama khususnya wayang kulit Kelantan. Kompenen yang terakhir ialah seni lukis iaitu setiap ukiran atau seni lukis yang ada pada patung wayang kulit adalah dianggap sebagai satu kesenian. Jika kita bandingkan antara patung wayang kulit dari Indonesia dan dari Malaysia, kita akan mendapati bahawa patung dari Indonesia adalah lebih unik. Hal ini boleh dilihat dari segi ukiran mata yang membawa watak-watak tertentu. Setiap ukiran pada patung-patung yang dihasilkan mempunyai fungsi, karektor dan simbol yang tersendiri.


Gambar 1 : Patung Wayang Kulit

Patung wayang kulit merupakan satu kesenian khusus yang memerlukan kemahiran dan kesabaran yang tinggi.


JENIS WAYANG KULIT

Wayang Kulit Jawa

Wayang kulit ini juga dikenali sebagai Wayang Purwa dan berasal dari Indonesia. Wayang Kulit Jawa dipersembahkan oleh orang keturunan Jawa di Johor dan Selangor. Terdapat juga wayang kulit di Kelantan yang menggunakan bahasa Jawa namun pupus selepas perang dunia ke-2. Wayang Kulit Jawa yang ada di Johor dan Selangor masih mengekalkan ciri wayang kulit purwa asli iaitu epik Ramayana dan Mahabrata tetapi ditambah dengan unsur seperti cerita lucu dan humor. Wayang kulit ini diiringi oleh Gamelan Jawa dan terdiri daripada pemuzik serta penyanyi.



Video 2 : Wayang Kulit Jawa (Purwa)


Dari segi isi cerita, cerita wayang ini berdasarkan cerita Pendawa Jawa yang disadur dari epik Mahabhrata India. Walaupun begitu, ceritanya tidak memperlihatkan pengaruh cerita panji. Dari segi patung pula, secara keseluruhannya patung-patung ini menyerupai patung wayang kulit Kelantan. Perbezaan yang nyata adalah dari segi bentuk mata patung, iaitu mata Jaitan untuk watak pahlawan, mata pepelangan untuk watak jahat dan mata prebes untuk watak bertapa. Istilah-istilah ini ialah istilah dalam bahasa Jawa. Dari segi bahasa pula, wayang ini disampaikan dalam bahasa Jawa namun dialek Melayu tempatan juga diselitkan dalam dialog cerita.

Gambar 2 : Set Gamelan Jawa

Untuk mempelajari dengan lebih lanjut tentang Wayang Kulit Jawa, anda bolehlah melawati website berikut:-
(http://en.wikipedia.org/wiki/Wayang_Kulit)
(http://www.yogyes.com/id/yogyakarta-tourism-object/performance/wayang-kulit-show/)
(http://www.joglosemar.co.id/wayangjawa.html)


Wayang Kulit Gedek

Wayang ini terdapat di kawasan Utara Semenanjung Malaysia termasuk Perlis dan Kedah. Wayang ini berasal dari Thailand dan menggunakan patung kecil yang mempunyai muka posisi depan. Selain itu, Wayang Kulit Gedek juga menggunakan campuran bahasa Thai dan dialek tempatan. Wayang ini lebih menjurus kepada epos Ramayana yang disebut Ramakien dan mempunyai pengaruh Siam yang kuat.

Gambar 3 : Patung Wayang Kulit Gedek

Dari segi isi cerita, wayang kulit Gedek mempunyai banyak persamaan dengan Nang Talung. Walau bagaimanapun, berlaku beberapa pengubahsuaian dalam wayang ini yang menunjukkan penerapan unsur-unsur setempat. Selain itu, wayang ini banyak diselitkan babak-babak cerita yang popular pada masa kini. Dari segi patung pula, secara umumnya patung-patung dalam wayang kulit ini menunjukkan pengaruh Nang Talung baik dari segi ukiran, pakaian, hiasan dan seumpamanya. Berbeza dengan patung-patung wayang kulit yang lain, patung wayang kulit ini diukir menghadap ke hadapan. Inilah ciri patung yang membezakan wayang kulit Gedek dengan wayang kulit yang lain. Dari segi bahasa pula, biasanya wayang ini disampaikan sama ada dalam loghat Siam mahupun dialek Melayu Kedah.



Video 3 : Wayang Kulit Gedek

Untuk mempelajari Wayang Kulit Gedek dengan lebih lanjut, anda bolehlah melawati laman ini.
(http://eprints.usm.my/9602/1/WAYANG_KULIT_GEDEK.pdf)


Wayang Kulit Melayu (Wayang Jawa)

Wayang ini dipengaruhi oleh Wayang Purwa dari Indonesia. Pada abad ke 19/20, wayang ini berkembang di bawah naungan Raja untuk hiburan bangsawan contohnya di Kedah dan Kelantan. Ini bermakna, wayang kulit ini hanya dipersembahkan di istana. Wayang ini juga dimainkan di istana Patani dalam Epos Mahabhrata. Bentuk patung pula mengikut gaya Pulau Jawa. Mengikut buku yang ditulis oleh Prof. Dato' Dr. Mohd. Ghouse Nasuruddin pada tahun 2003, mendapati bahawa wayang ini masih ada di Kg. Cicah, Kelantan.

Gambar 4 : Patung Wayang Kulit Melayu

Dari segi cerita, cerita Wayang Melayu berdasarkan episod-episod dari epik Mahabhrata terutamanya cerita Pendawa Lima. Wayang ini juga dipengaruhi oleh cerita Panji. Dari segi patung pula, pergerakannya menunjukkan persamaan dengan wayang Purwo iaitu boleh digerakkan kedua-dua belah tangan patung. Patung berwatak baik biasanya menundukkan kepada ke bawah dan bentuk tubuhnya adalah kecil serta elok. Patung berwatak kasar dan sombong lazimnya berhidung besar serta mendongak ke atas. Dari segi bahasa pula, cerita ini disampaikan dalam bahasa Jawa dan diselitkan dialek Melayu tempatan.

Untuk mempelajari Wayang Melayu dengan lebih lanjut, anda bolehlah melawati laman ini.
(http://www.kpkk.gov.my/pdf/buku/wayang_kulit.pdf)


Wayang Kulit Kelantan

Wayang kulit ini adalah teater rakyat dan sangat popular. Wayang ini mempunyai Epos Ramayana iaitu Cerita Maharaja Rawana (Seri Rama, Laksamana, Siti Dewi, Rawana, Hanuman Kera). Watak peran dalam wayang ini adalah watak lawak seperti Pak Dogol dan Wak Long. Wayang ini juga mempunyai penceritaan popular seperti Cerita Melayu, Cerita Panji dan cerita tempatan.

Gambar 5 : Patung Wayang Kulit Kelantan

Dari segi isi cerita pula, Wayang Kulit Kelantan berdasarkan cerita dalam Hikayat Seri Rama. Himpunan cerita dalam wayang ini disadur dari epik Ramayana tradisi India. Dari segi ukiran patung, ukirannya banyak persamaan dengan patung-patung Patani. Ia diukir dalam bentuk mengiring dan kebanyakannya berdiri di atas kenderaan. Dari segi pergerakan mekanikal, hanya tangan di sebelah hadapan yang dapat bergerak sambil memegang alat senjata atau kebesaran lain. Bahasa pengantar dalam teater tradisional ini pula ialah dialek Melayu Kelantan yang mempamerkan pengaruh Patani.

Untuk mempelajari Wayang Kulit Kelantan dengan lebih lanjut, anda bolehlah membaca buku yang bertajuk Malaysian Shadow Play and Music : Continuity of an Oral Tradition yang ditulis oleh Patricia Matusky.


ALAT MUZIK WAYANG KULIT

Wayang Kulit Jawa

Dalam persembahan wayang kulit ini, alat muzik yang digunakan adalah terdiri daripada kategori membranofon dan idiofon sahaja. Semua alat muzik ini adalah merupakan set kepada Gamelan Jawa. Alat muzik membranofon dalam wayang ini ialah khendang. Alat idiofon pula ialah gambang, sarun, demung, slantem, gender, gong ageng, gong suwukan dan kempul. Alat-alat muzik ini dimainkan dalam laras sistem tiunan Slendro.


Gambar 6 : Laras Sistem Tiunan Slendro


Gambar 7 : Set Gamelan Jawa

Wayang Kulit Gedek

Wayang Kulit Gedek diiringi oleh pelbagai jenis alat muzik. Alat muzik kordofon yang mengiringi teater tradisional ini adalah seperti alat yang digesek Saw oo dan Saw Duang, manakala alat muzik membranofon pula adalah seperti Geduk dan Gedombak. Alat muzik Aerofon pula adalah seperti Shawm yang juga dinamakan Pi atau Pi Jawa. Alat muzik idiofon yang mengiringi wayang ini adalah seperti alat simbal dan Gong Chime.


Gambar 8 : Geduk Gambar 9 : Gedombak


Wayang Kulit Melayu

Dalam persembahan Wayang Kulit Melayu pula, alat muzik dalam kategori kordofon yang mengiringi wayang ini adalah seperti Rebab 2 tali. Alat muzik membranofon pula terdiri daripada Gendang Ibu dan Gendang Anak manakala alat muzik idiofon adalah seperti sebiji Mong, 6 biji Canang, Kesi dan Gong.


Gambar 10 : Gendang Ibu dan Gendang Anak


Wayang Kulit Kelantan

Persembahan wayang ini diiringi oleh beberapa alat muzik mengikut kategori. Dalam kategori membranofon, wayang ini diiringi oleh sepasang Geduk, sepasang Gendang dan sepasang Gedumbak. Dalam kategori aerofon pula terdapat 2 jenis Serunai yang digunakan iaitu nada tinggi dan nada rendah. Alat muzik idiofon pula adalah seperti sepasang Canang, Kesi dan sepasang Tetawak.

Gambar 11 : Kesi

Gambar 12 : Sepasang Tetawak


PERBEZAAN DAN PERSAMAAN ANTARA WAYANG KULIT

Gambar di bawah akan memudahkan kita untuk menganalisis persamaan dan perbezaan antara wayang kulit yang telah dibincangkan.

Gambar 13 : Persamaan dan Perbezaan Dari Segi Bentuk Patung


Gambar 14 : Perbezaan Dari Segi Alat Muzik

Kesimpulannya, muzik wayang kulit pada masa kini hampir dilupakan. Oleh itu, pendedahan tentang budaya tradisional ini sangat penting terutamanya dalam kalangan muda-mudi yang semakin melupakan muzik tradisi ini. Sekian..

0 comments:

Post a Comment

 

Blog Pelajar Kumpulan A

Blog Pelajar Kumpulan B

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 MARLIN Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template